Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Google Akan Bina Kabel Dasar Laut Baharu Hubungkan 4 Negara

Posted on Februari 19, 2026

Google akan membina kabel dasar laut baharu dari hab kecerdasan buatan (AI) yang dirancangnya di India serta beberapa lokasi lain, umum syarikat Amerika Syarikat itu pada Rabu ketika New Delhi menjadi tuan rumah sidang kemuncak AI.

Gergasi teknologi global kini berlumba-lumba mengumumkan perjanjian dan pelaburan di negara itu minggu ini, ketika pemimpin dunia dan tokoh industri berkumpul bagi membincangkan peluang serta cabaran yang dibawa oleh AI.

Pengumuman Google menyusuli komitmennya pada Oktober lalu untuk membelanjakan AS$15 bilion dalam tempoh lima tahun bagi membina hab infrastruktur AI terbesar di luar Amerika Syarikat, di Visakhapatnam, sebuah bandar pelabuhan di negeri Andhra Pradesh, yang juga dikenali sebagai Vizag.

Syarikat itu memaklumkan ia akan membina “tiga laluan dasar laut yang menghubungkan India ke Singapore, South Africa dan Australia”.

Ia turut akan mewujudkan “empat laluan gentian optik strategik yang memperkukuh daya tahan rangkaian dan kapasiti antara Amerika Syarikat, India dan pelbagai lokasi di Hemisfera Selatan”.

Menurut kenyataan syarikat itu, projek berkenaan termasuk kabel terus yang menghubungkan Vizag ke Afrika Selatan serta satu lagi ke Singapura.

Selain itu, ibu kota kewangan India, Mumbai, akan dihubungkan ke Australia Barat.

Google berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada projek yang dilancarkan bersama rakan serantau dikenali sebagai “America-India Connect”, yang akan “mewujudkan gerbang dasar laut antarabangsa baharu di Visakhapatnam”.

“Pelaburan ini akan menjadikan Vizag sebagai gerbang dasar laut antarabangsa utama, menambah kepelbagaian penting berbanding pendaratan sedia ada di Mumbai dan Chennai,” menurut syarikat itu.

“Bagi negara dengan lebih satu bilion penduduk, ini akan meningkatkan daya tahan tulang belakang digital India dan memperkukuh keselamatan ekonomi.”

Dalam pengumuman lain pada Rabu, gergasi cip AS Nvidia berkata ia bekerjasama dengan tiga syarikat pengkomputeran awan India untuk menyediakan pemproses canggih bagi pusat data yang boleh melatih dan menjalankan sistem AI.

Tahun lalu, India melonjak ke tempat ketiga — mengatasi Korea Selatan dan Jepun — dalam ranking tahunan daya saing AI global yang dikira oleh penyelidik di Stanford University.

Namun, walaupun terdapat rancangan infrastruktur berskala besar dan cita-cita tinggi dalam inovasi, pakar berkata negara Asia Selatan itu masih mempunyai perjalanan panjang sebelum mampu menyaingi Amerika Syarikat dan China.

“India akan melalui trajektori luar biasa dengan AI dan kami mahu menjadi rakan kongsi,” kata Sundar Pichai, ketua syarikat induk Google, Alphabet Inc., kepada wartawan di New Delhi.

Beliau menambah bahawa negara paling ramai penduduk di dunia itu “berada pada kedudukan unik ketika ini” untuk melonjak dalam sektor berkenaan, sambil menyatakan India merupakan antara pasaran terbesar bagi chatbot AI Gemini milik Google. – AFP.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress