Pada Khamis, Facebook telah melancarkan aplikasi Creator Studio bagi peranti mudah alih Android dan iOS. Penerbit dan pencipta kandungan kini dengan mudah boleh menguruskan kandungan Facebook Page dengan menggunakan aplikasi baru itu, di mana sebelum ini ia hanya tersedia melalui laman web sahaja.
Creator Studio membenarkan pengguna untuk menguruskan satu atau lebih Facebook Page dalam satu-satu masa melalui aplikasi berkenaan. Selain itu, anda dapat menjejaki data metrik yang menunjukkan prestasi Facebook Page, membalas komen dan kiriman mesej secara terus dalam peti masuk serta menerima pemberitahuan data penting mengenai kandungan yang diterbitkan.
Menurut Facebook, aplikasi ini menyediakan hampir semua fungsi dari versi laman web, namun terdapat beberapa fungsi yang tidak tersedia buat masa ini. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan aplikasi ini untuk menyunting tajuk dan ulasan video, memadam kiriman, menyiarkan dan menetapkan masa draf kiriman. Namun, anda tidak boleh membuat kiriman baru dengan menggunakan aplikasi ini.
Untuk memuat turun, aplikasi ini tersedia secara percuma di App Store dan Google Play.
Sumber: 9to5Mac via Facebook for media