Apabila pulang ke rumah, para penduduk di sebuah persatuan perumahan kecil di pinggir bandar Hudiksvall, Sweden, akan menyambungkan kenderaan elektrik (EV) mereka untuk mengecas atau, apa yang menariknya, untuk membekalkan kuasa kepada rumah mereka.
Pertukaran tenaga dua hala ini membolehkan lapan buah keluarga yang tinggal di situ menjimatkan banyak perbelanjaan bagi bil elektrik, kata salah seorang penduduk, Filip Kiltorp, seorang jurujual berusia 33 tahun, kepada AFP.
“Kami menggunakan kereta untuk membekalkan kuasa kepada rumah apabila permintaan tenaga kami tinggi,” kata Kiltorp sambil berdiri di sebelah kenderaan elektriknya.
Kereta-kereta tersebut disambungkan ke pusat pengecasan yang terletak berhampiran garaj apartmen mereka.
Kediaman tersebut merupakan bangunan merah tradisional yang dikelilingi oleh pokok-pokok jenis birch dan sebuah padang golf yang luas.
Kenderaan elektrik, apabila tidak digunakan, sering kali mempunyai lebihan tenaga yang tersimpan di dalam baterinya.
Namun, dengan adanya pengecas dwiarah (bidirectional charger), tenaga yang tersimpan ini boleh disalurkan semula ke dalam grid untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik, lampu, dan sistem lain di apartmen tersebut.
Perisian yang mengawal sistem itu memastikan bateri kereta dicas pada waktu luar puncak (off-peak hours), iaitu ketika permintaan elektrik di apartmen adalah rendah.
Sistem ini kemudiannya akan mengubah aliran elektrik supaya bateri tersebut menyalurkan semula tenaga ke dalam grid kuasa tempatan semasa waktu puncak (peak usage hours) — iaitu ketika elektrik daripada rangkaian utama adalah paling mahal — serta ketika berlakunya gangguan bekalan elektrik.
Langkah ini membantu menstabilkan grid kuasa, jelas Klas Boman, iaitu penggerak utama di sebalik projek berkenaan.

‘Sumber Inspirasi’
Ia juga berjaya mengurangkan bil elektrik para penghuni.
“Tinggal di sini sememangnya jauh lebih murah,” kata Kiltorp.
“Kos elektrik sering menjadi topik perbualan di pejabat atau dalam kalangan rakan-rakan. Kami menggunakan jumlah elektrik yang sama seperti pemilik rumah lain, tetapi bil kami jauh lebih rendah,” sambung Kiltorp.
Pangsaprui-pangsapuri tersebut turut dijana oleh sumber tenaga boleh diperbaharui yang lain, menjadikan mereka “hampir mampu berdikari” dari segi tenaga, kata Kiltorp.
Kereta kini bukan lagi sekadar mod pengangkutan ringkas, sebaliknya turut berfungsi sebagai unit penyimpanan tenaga mudah alih.
Selain itu, lapan apartmen tersebut berkongsi sebuah pam haba (heat pump), yang membantu menguruskan kos pemanasan domestik.
Mereka juga memasang panel solar pada bumbung, yang digabungkan dengan unit penyimpanan statik untuk menyimpan sebarang lebihan kuasa yang dihasilkan oleh panel solar tersebut.
Projek rintis ini merupakan usaha sama antara persatuan perumahan BRF Stenberg, pengeluar kereta Volkswagen, dan syarikat utiliti Sweden, Vattenfall.
Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa teknologi V2G (Vehicle to Grid atau Kenderaan ke Grid) boleh berfungsi dalam skala sebuah kompleks perumahan.
“Kami cuba menjadi sumber inspirasi kepada orang lain,” kata Boman, yang sebelum ini pernah bekerja dalam industri kenderaan.
Di Sweden, teknologi ini juga sedang diuji di bangunan yang lebih besar, universiti, dan syarikat pemula (start-up).
Universiti Gavle di tengah Sweden pernah melakukan simulasi gangguan bekalan elektrik di tengah-tengah ucapan menteri pendidikan tinggi di sana untuk menunjukkan cara pengecas dwiarah mereka berfungsi.
Mereka menyambungkan sebuah kereta elektrik dan tindakan itu berjaya memastikan premis tersebut terus beroperasi selama beberapa jam.
“Saya menggelarnya sebagai bateri beroda,” kata Nicholas Etherden, seorang pensyarah dan penyelidik sistem tenaga di universiti tersebut, kepada AFP.
“Kereta bergerak hanya sekitar lima peratus daripada keseluruhan masa. Sembilan puluh lima peratus lagi, ia hanya tersadai di tempat letak kereta di mana-mana sahaja,” jelasnya.
“Jika kita menyambungkannya ke grid, kita mempunyai sumber yang, pada bila-bila masa, akan membekalkan lebih banyak elektrik daripada jumlah yang diambil oleh orang ramai dari grid pada waktu kemuncak tertinggi.”
‘Potensi yang Amat Besar’
Secara purata, satu bateri kenderaan mampu menampung keperluan sebuah rumah untuk tempoh antara lima hingga tujuh hari sebelum ia kehabisan kuasa.
“Jadi, kita mempunyai potensi yang amat besar,” kata penyelidik itu.
Bagaimanapun, pelaksanaan model ini secara lebih meluas masih menghadapi beberapa hambatan.
Ia memerlukan sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan kenderaan sedia ada bertukar kepada elektrik, yang mana pasaran di Sweden masih belum mencapai tahap itu, berbeza dengan negara jirannya seperti Norway dan Denmark.
Birokrasi dan sektor automotif yang konservatif juga memperlahankan penerimaan teknologi ini dalam skala besar, walaupun teknologi tersebut sudah lama wujud, menurut profesor Lina Bertling Tjernberg.
Langkah besar seterusnya untuk mempercepatkan perkembangannya adalah dengan melengkapkan setiap kenderaan elektrik dengan sistem pengecasan dwiarah, kata Bertling Tjernberg, yang merupakan profesor teknologi grid kuasa di Institut Teknologi Diraja di Stockholm.
Beliau kesal kerana insentif untuk mempromosikan teknologi ini sentiasa berubah-ubah.
Isu potensi kehausan jangka hayat bateri kenderaan juga menjadi kebimbangan bagi sesetengah pihak.
Bertling Tjernberg berkata aspek ini memerlukan lebih banyak penyelidikan, walaupun pengalaman setakat ini menunjukkan bahawa jangka hayat bateri bertahan lebih lama daripada yang dijangkakan.
Bagi Etherden pula, beliau yakin perkara itu tidak menjadi masalah, memandangkan bukti yang dikumpul daripada penggunaan kenderaan elektrik sepanjang 10 hingga 20 tahun lalu.
“Bateri akan bertahan lebih lama daripada kereta itu sendiri,” katanya sambil menambah bahawa membekalkan kuasa kepada sebuah rumah biasa hanya menggunakan jumlah tenaga yang sama seperti memecut kereta dari sifar ke lima kilometer sejam.
“Ia seperti memandu di belakang seekor keldai (sangat perlahan). Ia merupakan penggunaan bateri yang sangat cermat,” katanya sambil tersenyum.
– AFP.
{suggest}
