Studio permainan video terkemuka, BioWare, secara rasmi mengumumkan penutupannya selepas lebih 30 tahun beroperasi dalam industri permainan video.
Ia selepas Electronic Arts (EA) mengambil keputusan untuk menutup studio pembangunan permainan yang telah mencipta pelbagai francais RPG ikonik selama lebih tiga dekad.
Dalam kenyataan rasminya, BioWare menyatakan bahawa fokus utama mereka kini adalah untuk menyokong barisan tenaga kerja yang berbakat sepanjang tempoh transisi ini.
Penutupan studio itu dilaporkan akan menjejaskan kira-kira 50 pekerja di studio tersebut serta 350 pekerja lagi di tempat lain.
Studio tersebut turut menzahirkan rasa penghargaan yang mendalam kepada komuniti pemain dan peminat seluruh dunia yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah panjang serta legasi penceritaan yang dibina bersama selama ini.
Sejak ditubuhkan, BioWare telah menghasilkan pelbagai judul yang meninggalkan kesan besar kepada industri, termasuk Baldur’s Gate, Neverwinter Nights, Star Wars: Knights of the Old Republic, Dragon Age dan Mass Effect.
Permainan-permainan ini terkenal kerana penceritaan mendalam, pilihan pemain yang kompleks serta dunia fantasi dan sains fiksyen yang begitu menarik.
Namun, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan studio tersebut berdepan cabaran besar.
Beberapa judul permainan utama keluaran mereka seperti Mass Effect: Andromeda, Anthem dan Dragon Age: The Veilguard gagal memenuhi jangkaan ramai peminat serta sasaran komersial syarikat.
Penutupan BioWare juga menandakan berakhirnya harapan untuk melihat siri Mass Effect diteruskan dalam masa terdekat.
Ramai pembangun veteran yang pernah membentuk kejayaan francais tersebut turut meninggalkan studio sejak beberapa tahun lalu.
Penutupan BioWare bukan sekadar kehilangan sebuah studio, tetapi juga penutup tirai kepada salah satu nama paling berpengaruh dalam sejarah genre RPG moden.
