EA Sahkan Permainan Command&Conquer Bakal Dibangunkan Semula, Tiada Transaksi Mikro

Suatu ketika dulu, kami pernah melaporkan bahawa permainan popular, C&C : Red Alert 2 versi mudah alih akan diperkenalkan oleh Tencent Games. Namun, sehingga hari ini tiada sebarang maklumat lanjut mengenai pelancarannya, dan ia agak mengecewakan para peminat permainan lagenda berkenaan.

Namun, baru-baru ini timbul laporan mengenai pembangunan semula siri C&C yang dirancang oleh pembangun asalnya, Electronic Arts(EA). Menurut laporan terkini, perkara itu telah pun disahkan sendiri oleh EA. Malah, mereka juga memberi jaminan bahawa tiada sebarang transaksi mikro dikenakan pada permainan tersebut.

Kapsyen: Mungkin kita akan melihat kemunculan semula Kirov di masa akan datang (Kredit : C&C Wiki)


Buat masa sekarang, EA masih lagi belum mengumumkan permainan manakah yang akan dihasilkan semula. Namun, mereka mendakwa akan membawa permainan klasik dengan antaramuka dan kualiti grafik yang lebih baik, sesuai dengan teknologi terkini.

Penerbit permainan C&C 3, Jim Vessella juga mengesahkan bahawa permainan ini mungkin hanya akan diperkenalkan dua tahun dari sekarang. Beliau berkata demikian dalam kiriman balas bagi menjawab salah satu soalan di laman Reddit.

Berita ini pasti menggembirakan peminat siri berkenaan. Bagi saya, saya mengharapkan permainan yang bakal dihasilkan semula ialah Red Alert 2 : Yuri Revenge. Bagaimana pula dengan anda? Kongsikan di ruang komen.

 

Sumber : Reddit   PCGamer