Bagi memudahkan pemantauan kalori harian, seorang pembangun Malaysia, Hazmi Irfan melalui Bayaq LPT, telah membangunkan Tied, aplikasi penjejak kalori berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Dengan Tied, pengguna boleh mendapatkan anggaran kalori sama ada daripada gambar makanan yang dimuat naik atau berdasarkan penerangan hidangan. Sebagai contoh, hidangan nasi putih, ayam goreng, sambal belacan dan kicap dianggarkan sekitar 495 kalori. Aplikasi ini turut memecahkan kandungan setiap item, contohnya nasi putih satu pinggan 200 kalori, lengkap dengan maklumat protein, karbohidrat dan lemak.

Penggunaan aplikasi juga lebih mudah dengan widget di Home Screen. Pengguna boleh melihat jumlah kalori yang diambil dan baki kalori harian, serta memuat naik gambar makanan atau menambah penerangan hidangan tanpa perlu membuka aplikasi terlebih dahulu.
Tied juga memberi anggaran kalori terbakar daripada aktiviti harian dan memaparkan progres berat badan melalui graf serta statistik yang mudah difahami.
Bagi pengguna yang mahu maklumat lebih mendalam, versi Pro menawarkan pengira makronutrien, cadangan hidangan harian, AI lebih pantas untuk anggaran kalori, bot sembang Nutrition AI, sync dengan Apple Health atau Google Health, serta peringatan untuk keadaan kesihatan tertentu seperti diabetes, kehamilan atau kolesterol tinggi.
Pengguna baharu boleh mencuba versi Pro secara percuma selama tujuh hari, dan jika tidak mahu teruskan, boleh membatalkan langganan dan kembali kepada versi percuma.

Sesuatu yang menarik tentang Tied ialah ia fleksibel dan sesuai untuk kehidupan sebenar, terutamanya bagi pengguna yang ingin menurunkan berat badan atau peka tentang pengambilan kalori. Ia membantu membina tabiat pemakanan yang praktikal dan konsisten, sambil memberi kawalan kepada pengguna untuk menyesuaikan mengikut keperluan sendiri.
Bagi yang berminat, aplikasi Tied boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store atau Apple App Store.
{suggest}


