Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Daripada Perlombongan Besi, Bandar Pergunungan Austria Ini Kini Jadi Hab AI Global

Posted on Ogos 24, 2026Ogos 24, 2026

Terletak di kawasan bukit berhutan di wilayah Styria, Austria, bandar Leoben kaya dengan nilai tradisi menerusi bangunan berona pastel dan dataran pusat bandar yang menawan serta megah dengan sebuah gereja abad ke-13.

Namun di pinggir bandar tersebut, jurutera meneliti menerusi kanta pembesar gergasi manakala lengan robot mengendalikan kepingan tembaga untuk membangunkan komponen yang digunakan dalam beberapa sistem AI paling canggih di dunia.

AT&S, sebuah syarikat elektronik yang bertapak di Leoben, menghasilkan substrat litar bersepadu (IC), papan yang menghubungkan cip kepada memori komputer dan bekalan kuasa, komponen kritikal dalam perlumbaan membangunkan AI dan pemprosesan data berkelajuan tinggi.

Saham syarikat itu telah melonjak lebih 450 peratus tahun ini, menjadikannya salah satu penerima manfaat paling ketara di Eropah daripada lonjakan AI.

Bagi ketua pegawai eksekutif Michael Mertin, kejayaan ini membuktikan bahawa Eropah masih boleh “menguasai niche penting” dalam perlumbaan AI, walaupun tidak dapat bersaing dengan gergasi AS dari segi inovasi cip, atau syarikat Asia dari segi skala pengeluaran.

 

“Kami tidak akan menjadi negara atau rantau peneraju… (tetapi) terdapat beberapa teknologi canggih di mana kami merupakan pemimpin dunia di Eropah,” kata Mertin.

Ditubuhkan pada tahun 1987, AT&S pada mulanya menghasilkan papan litar tercetak sebelum menceburi perniagaan substrat IC pada 2016, apabila ia memulakan pengeluaran siri di kilang baharu di Chongqing, China.

Papan litar bercetak dipamerkan di bilik pameran di ibu pejabat AT&S di Leoben, Styria, Austria, pada 11 Ogos 2026. Syarikat itu telah membuka kilang kedua untuk menghasilkan substrat IC di Malaysia pada tahun 2024. (Photo by KERSTIN JOENSSON / AFP)

Tapak di Leoben, yang dikenali sebagai kilang Hinterberg, berfungsi sebagai ibu pejabat global dan menempatkan operasi penyelidikan dan pembangunannya (R&D).

Selepas melabur lebih 500 juta euro (~RM2.3 bilion) dalam pusat penyelidikan dan pengeluaran yang dibuka tahun lalu, ia juga menjadi satu-satunya pengeluar komersial utama substrat IC canggih di Eropah.

‘Revolusi industri’

Malcolm Penn, pengerusi firma perunding semikonduktor Future Horizons, berkata AT&S merupakan salah satu daripada beberapa syarikat Eropah yang mendapat manfaat secara langsung daripada permintaan tinggi terhadap perkakasan AI.

 

“Mereka menunggang gelombang AI… Mereka tidak mencetuskan gelombang itu, tetapi mereka memanfaatkannya,” katanya.

Substrat IC adalah “sangat kritikal” dalam ekosistem AI “kerana ia merupakan salah satu aspek utama untuk mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan gangguan bunyi, dan meningkatkan kelajuan,” tambahnya.

Kekuatan Eropah dalam perkakasan berkaitan AI selalunya terletak pada bahagian khusus dalam rantaian bekalan semikonduktor, dengan syarikat seperti gergasi litografi Belanda ASML dan pereka cip Britain Arm memegang posisi utama.

AT&S tidak boleh mendakwa berada dalam taraf yang sama seperti mereka, namun pertumbuhan AI telah membawa kepada peningkatan besar dalam permintaan sejak beberapa bulan lalu, kata Barbara Decker-Schloegl, pengarah kanan operasinya.

 

“Anda boleh melihatnya di semua kawasan — pertanyaan pelanggan terus meningkat dan meningkat,” katanya. “Isu kecerdasan buatan, termasuk permintaan tinggi terhadap modul pengkomputeran berkaitan, tidak dijangka akan merosot dalam masa terdekat,” tambah Mertin.

“Pada pandangan saya, ini adalah satu revolusi industri, hampir sama seperti pengenalan enjin atau enjin wap pada zaman dahulu,” katanya.

Kekuatan tempatan, tenaga kerja global

Kira-kira 2,200 orang dari lebih 70 buah negara bekerja di tapak Leoben, sebuah bekas pusat perlombongan besi dengan 28,000 penduduk di negeri selatan Styria yang bergunung-ganang.

Mario Alroy, 36, dari India, telah menjadi pengurus akaun di AT&S selama empat tahun dan berulang-alik ke tempat kerja setiap hari dari Graz, bandar besar terdekat.

 

“Styria sememangnya tempat yang sangat indah. Anda mempunyai gunung-ganang, tasik, dan jika anda berminat dengan wain anda boleh pergi menikmati sesi wine tasting… Kualiti hidup di sini sangat baik,” katanya.

Namun kira-kira 60 peratus daripada kakitangan adalah warga Austria, dan “AT&S merupakan salah satu majikan terbesar di rantau ini”, kata Decker-Schloegl.

Universiti Teknikal Leoben, yang lama terkenal dengan bidang perlombongan, metalurgi dan sains bahan, telah melahirkan generasi jurutera dan pakar teknikal untuk AT&S.

Kerstin Neukamp, jurucakap pejabat datuk bandar, berkata pertumbuhan AT&S telah membawa “pekerjaan berkelayakan tinggi dan keterlihatan antarabangsa tambahan” buat bandar dan rantau tersebut.

Walau bagaimanapun, “dengan pertambahan pekerja dan keluarga mereka, tuntutan baharu turut timbul dari segi perumahan, pendidikan, penjagaan anak, dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh pihak bandar,” tambahnya.

Di dataran pusat bandar Leoben, Sigrid Halm, seorang pekerja sosial berusia 52 tahun, berkata AT&S “sangat penting untuk bandar ini kerana terdapat banyak peluang pekerjaan di sana”.

 

“Bapa saya pernah bekerja di sana, beliau merupakan seorang jurutera di Hinterberg dan eksekutif kanan. Kedua-dua anak saya pernah bekerja di sana, dan saya mengenali ramai orang yang masih bekerja di situ,” katanya.

– AFP

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress