Arab Saudi sedang bersiap sedia menyambut lebih sejuta jemaah haji dalam keadaan cuaca panas melampau, dengan suhu dijangka setinggi 51.8°C. Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para jemaah, kerajaan Arab Saudi memperkenalkan pelbagai inisiatif berasaskan teknologi.
Antara tumpuan utama adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan dron untuk memantau pergerakan jemaah secara masa nyata. AI akan menilai data serta rakaman video dari kawasan sekitar Mekah bagi membantu kawalan orang ramai, mengesan kesesakan, dan memberi maklum balas pantas kepada pihak berkuasa.
Pendekatan ini bertujuan mengelakkan insiden seperti rempuhan yang pernah meragut ribuan nyawa sebelum ini.
Sebagai tambahan, kawasan berteduh telah diperluas sebanyak 50,000 meter persegi. Lebih 400 mesin penyejuk kabus dan ribuan petugas kesihatan juga akan dikerahkan sepanjang ibadah haji.
Beberapa permukaan jalan di sekitar Masjidil Haram turut disalut dengan lapisan khas bagi mengurangkan suhu permukaan.
Menurut Menteri Haji, Dr. Tawfiq al-Rabiah memberitahu AFP, lebih 250,000 pegawai dari 40 agensi kerajaan telah digerakkan. Fokus mereka adalah pada keselamatan, terutamanya mengurangkan risiko berkaitan haba.
Kerajaan juga memperketatkan kawalan permit haji selepas mendapati lebih 80% kematian jemaah tahun lalu melibatkan mereka yang tidak memiliki permit sah, sekali gus tidak mendapat akses ke kemudahan seperti khemah berhawa dingin dan perubatan.
Musim haji tahun ini dijadual bermula 4 Jun, dan akan berlangsung sekurang-kurangnya selama empat hari, kebanyakannya di kawasan terbuka.
Dengan pelaksanaan teknologi canggih, Arab Saudi berharap dapat menyediakan pengalaman ibadah yang lebih selamat dan teratur untuk semua jemaah.
{suggest}
