CIMB Bank: Tiada Aktiviti Mencurigakan Berkenaan Aplikasi Zoom

Sebelum ini, aplikasi Zoom berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan dan pendedahan data pengguna. Beberapa hari selepas itu, tular mengenai beberapa pelanggan CIMB Bank yang berkongsi transaksi yang dinyatakan sebagai debit langsung melalui aplikasi atau laman sesawang CIMB Clicks.

Seterusnya, tular pula di Whatsapp mengenai transaksi tersebut yang dikaitkan dengan aplikasi Zoom. Kini, CIMB dalam satu kenyataan menafikan kaitan transaksi tersebut dengan aplikasi Zoom dan menjelaskan tiada aktiviti yang mencurigakan berlaku pada platform tersebut.

Berdasarkan kenyataan tersebut, CIMB turut menyatakan operasi yang dilakukan adalah mengikut garis panduan keselamatan yang ketat dan mematuhi semua keperluan pengawalseliaan, perundangan, pematuhan dan risiko.

Keselamatan dana pelanggan dan urusniaga perbankan dalam talian menjadi keutamaan pihak CIMB untuk memastikan semua urus niaga perbankan kekal selamat kepada pelanggan.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan aplikasi ‘Video Tele-Conferencing’ (VTC) yang tidak mempunyai ciri keselamatan. Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk memilih platform VTC yang selamat untuk digunakan.



Pihak CyberSecurity Malaysia (MyCert) turut mengesyorkan garis panduan kepada pengguna untuk memilih platform VTC yang selamat.

Sekiranya anda mahukan kepastian sesuatu khabar angin yang tular, tidak kira di aplikasi WhatsApp mahupun media sosial boleh kunjungi Sebenarnya.my