China Mobile Menjadi Mangsa Terbaru Perang Dingin AS-China

Kerajaan Amerika Syarikat(AS) sebelum ini telah menghalang produk keluaran Huawei dan ZTE daripada dijual di kedai-kedai yang beroperasi di dalam kem ketenteraan mereka. Malah, mereka turut pernah menyekat sebarang aktiviti perniagaan daripada dijalankan oleh syarikat tempatan dengan syarikat ZTE sebelum ianya ditarik balik.

Tidak cukup dengan itu, Pentagon hari ini telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan membenarkan syarikat komunikasi dari China, China Mobile untuk beroperasi di negara berkenaan. China Mobile merupakan syarikat telekomunikasi ketiga terbesar di dunia selepas AT&T dan Verizon.



Sekatan itu dikuat-kuasakan selepas mereka telah membuat keputusan untuk mengklasifikasikan syarikat berkenaan sebagai ancaman buat keselamatan negara. Pentagon mendakwa China Mobile sebagai salah satu badan yang terlibat dalam usaha risikan terhadap pihak musuh oleh kerajaan China.

Menurut mereka lagi, syarikat tersebut terdedah kepada kawalan dan desakan daripada kerajaan China. Dakwaan itu ternyata mempunyai asas yang kukuh kerana menurut sumber, 74% daripada pegangan syarikat berkenaan dikuasai oleh kerajaan China pada tahun 2011.

China Mobile sentiasa berusaha untuk memperluas pasaran mereka ke seluruh dunia. Selain China dan Hong Kong, mereka juga merupakan penyedia perkhidmatan berkaitan komunikasi terbesar di Pakistan. Untuk pengetahuan, syarikat berkenaan turut beroperasi di Malaysia.

Sumber