Kerajaan Amerika Syarikat Haram Penjualan Peranti Huawei Dan ZTE Di Kem Tentera

Kerajaan Amerika Syarikat melalui jurucakap mereka semalam telah mengarahkan semua gerai jualan yang menjual peranti telefon pintar di kem ketenteraan mereka agar menghentikan penjualan peranti keluaran syarikat Huawei dan ZTE, lapor Wall Street Journal. Arahan itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga daripada ancaman atau intipan pihak musuh melalui peranti-peranti tersebut.



Pentagon memberitahu media bahawa mereka perlu memperketatkan kawalan keselamatan bagi unit ketenteraan mereka kerana masalah kebocoran data, maklumat rahsia serta intipan kini semakin sering berlaku melalui peranti elektronik seperti telefon pintar. Selain itu, mereka bimbang akan kedudukan mereka mudah diketahui oleh pihak musuh melalui fungsi GPS yang terdapat pada peranti-peranti tersebut.

Menurut jurucakap Pentagon itu lagi, kerajaan China boleh mengarahkan pengeluar telefon pintar seperti Huawei dan ZTE ini untuk memasang alat intipan pada peranti mereka yang dijual di gerai jualan yang terdapat di kem tentera milik Amerika Syarikat. Mereka bimbang sekiranya pergerakkan tentera mereka dapat diintip dengan mudah oleh pihak China seterusnya mengetahui segala aktiviti yang mereka lakukan.



Dalam pada itu, pihak kerajaan Amerika masih lagi membenarkan tentera mereka untuk mendapatkan peranti Huawei dan ZTE daripada gerai di luar kawasan kem serta menggunakan peranti keluaran dua syarikat tersebut secara peribadi. Akan tetapi pihak kerajaan akan menilai dan mendapatkan nasihat daripada pegawai-pegawai tertinggi tentera terlebih dahulu sebelum memutuskan berkenaan pengharaman penggunaan peranti Huawei dan ZTE pula selepas ini.

Pihak Huawei dalam membalas kenyataan daripada Pentagon ini berkata kepada The Verge bahawa mereka adalah sebuah syarikat yang sentiasa menghormati privasi penggunanya selain cuba mempertingkatkan ciri keselamatan secara konsisten. Mereka juga memberi jaminan bahawa tiada kerajaan yang pernah mengarahkan mereka untuk menceroboh atau mensabotaj keselamatan mana-mana negara melalui peranti mereka.

Sumber