Sebelum 'Renew', Ini Yang Perlu Tahu Mengenai Cetakan Fizikal Slip Lesen Memandu

Bergerak ke arah pendigitalan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan penggunaan lesen digital bagi Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Namun begitu, ada sebilangan pengguna yang masih keliru mengenai cetakan fizikal Slip Pembaharuan LMM sepanjang tempoh interim pendigitalan.

{suggest}

Menurut JPJ, Slip Pembaharuan LMM hanya tersedia kepada orang awam yang memilih cetakan fizikal. Bermakna, pemegang lesen memandu boleh memilih untuk membuat pembaharuan secara digital tanpa kad fizikal/Slip Pembaharuan atau dengan cetakan fizikal.

Bagi menjawab beberapa persoalan lain, teruskan bacaan selanjutnya.

Apa itu Slip Pembaharuan LMM?


Dokumen lesen memandu dalam bentuk kertas keselamatan yang diseragamkan untuk penggunaan sepanjang tempoh interim. Ia hanya melibatkan pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) sahaja.

Maklumat yang tertera di slip adalah nama, nombor kad pengenalan, kelas lesen memandu, tarikh kuat kuasa dan nombor siri lesen.

Macam mana nak dapatkan slip ni?


Pengeluaran Slip Pembaharuan LMM boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, Pos Malaysia Berhad dan melalui perkhidmatan MyEG Services Berhad.

Tiada caj tambahan yang dikenakan dan termasuk dalam fi pembaharuan lesen memandu.

Macam mana nak guna?


Penggunaan Slip Pembaharuan LMM perlu disertakan bersama lesen memandu asal (kad fizikal/digital).

Ia sah digunakan dan boleh dikemukakan bersama lesen memandu asal apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Kalau dah ada lesen memandu digital, perlu kemukakan slip juga ke?


Tidak perlu. Pemegang LMM hanya perlu kemukakan lesen digital sahaja.

Memandu di luar negara boleh guna Slip Pembaharuan LMM ke?


Tidak. Slip Pembaharuan LMM tidak boleh digunakan bagi urusan luar negara.

Pemegang LMM perlu hadir ke kaunter JPJ berdekatan untuk memohon salinan kad fizikal LMM bagi urusan ke luar negara dan dikenakan bayaran fi salinan sebanyak RM20.

Pembuktian/dokumen sokongan urusan ke luar negara juga perlu dikemukakan bagi urusan tersebut - seperti tiket perjalanan, surat tawaran, pasport atau dokumen berkaitan.

Jika Slip Pembaharuan hilang atau rosak, boleh dapatkan semula salinan?


Boleh. Akan tetapi, pemegang lesen akan dikenakan bayaran fi salinan sebanyak RM20.



Bagi menggalakkan penggunaan lesen digital, kerajaan turut memberikan rebat RM5 untuk pembaharuan lesen memandu tanpa cetakan fizikal bermula 1 Februari sehingga 31 Disember 2024.

Teruskan bacaan di SINI untuk mengetahui cara memperbaharui lesen digital di aplikasi MyJPJ.

Sumber: JPJ