CEO Samsung Sahkan Galaxy S10 Bukan Peranti Pertama Dengan Sokongan Rangkaian 5G

Samsung Galaxy S10 sebelum ini digembar-gemburkan sebagai peranti pertama Samsung yang akan hadir dengan sokongan rangkaian 5G. Bagaimanapun, dakwaan itu telah disangkal oleh Ketua Pegawai Eksekutif Samsung, DJ Koh sendiri.

Mereka merupakan salah satu daripada beberapa syarikat pengeluar yang mengesahkan akan membangunkan peranti dengan sokongan 5G pada tahun hadapan. Dengan penafian ini, ia menimbulkan tanda tanya berkenaan peranti Samsung manakah yang akan muncul dengan sokongan rangkaian tersebut kelak.



Antara peranti yang disebut-sebut ialah peranti boleh lipat pertama mereka, Galaxy F. Namun, ia hanyalah cakap-cakap dan tekaan dari pemerhati industri sahaja setakat ini.

Baca juga - Siri Samsung Galaxy Paling Inovatif Akan Diperkenalkan Tahun Hadapan – WSJ

DJ Koh juga memberi bayangan bahawa peranti yang dirahsiakan ini akan diperkenalkan tidak lama lagi. Kami menjangkakan peranti itu akan dilancarkan sebelum acara MWC 2019 yang dijadualkan akan berlangsung pada 25 Februari hingga 28 Februari.



Ini kerana Samsung diramal akan menggunakan kesempatan dalam acara yang akan diadakan di Barcelona itu nanti untuk merasmikan Galaxy S10. Untuk rekod, Galaxy S9 telah dilancarkan semasa MWC 2018.

Walaubagaimanapun, seperti biasa perkara ini masih lagi diperingkat ura-ura. Untuk perkembangan lanjut berkenaan perkara ini, anda boleh ikuti laman Facebook dan Twitter rasmi Samsung atau terus ke laman sesawang mereka.

 

Sumber