Binance, bursa mata wang kripto terbesar dunia, mengesahkan insiden keselamatan dengan anggaran kesan sekitar AS$6.3 bilion. Ini menjadikannya kecurian kripto terbesar setakat ini.
Menurut firma analisis blockchain TRM Labs, kira-kira AS$6.36 bilion aset digital dipindahkan keluar daripada dompet Binance merentasi 10 rangkaian blockchain. Kebanyakan pemindahan berlaku dalam tempoh sekitar 20 minit bermula 4:05 pagi, 30 Oktober waktu Malaysia.
Binance berkata siasatan awal menunjukkan insiden itu mungkin bermula dengan komputer riba seorang jurutera DevOps yang telah dikompromi. Penyerang dipercayai menggunakan akses tersebut untuk masuk ke dalam sebuah service container dan menghantar transaksi pengeluaran tanpa kebenaran.
Syarikat itu menegaskan setakat ini tiada bukti private key dompet telah tertiris. Laporan teknikal penuh akan diterbitkan selepas siasatan selesai.
TRM Labs dan Chainalysis mengaitkan serangan tersebut dengan TraderTraitor, unit penggodam yang dikaitkan dengan Korea Utara. Kumpulan sama sebelum ini dinamakan FBI sebagai dalang kecurian AS$1.5 bilion daripada bursa Bybit pada Februari 2025. Binance sendiri belum menamakan pihak yang bertanggungjawab dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Setakat ini, Binance berkata kira-kira AS$3 bilion aset telah dibekukan dengan kerjasama rakan blockchain. Daripada jumlah itu, Tether membekukan lebih 1.567 bilion USDT manakala Circle membekukan lebih AS$800 juta USDC.
Binance berkata dana pengguna selamat dan semua kerugian akan ditanggung menggunakan dana kecemasan SAFU serta dana syarikat.
Pengeluaran digantung buat sementara waktu untuk semakan keselamatan. Co-CEO Binance, Yi He, berkata perkhidmatan pengeluaran dijangka mula disambung semula dalam tempoh 48 jam, dan deposit beroperasi seperti biasa. Kenyataan awal Binance pula menyebut deposit turut digantung.
Binance juga akan menerbitkan Proof of Reserves yang dikemas kini selepas langkah pemulihan selesai.
Insiden ini turut menjejaskan pasaran kripto, dengan harga bitcoin jatuh ke sekitar AS$77,000 susulan berita tersebut.
Untuk rekod, Binance masih belum dilesenkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
