China pada Jumaat menafikan dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, menjadi sasaran operasi pengintipan oleh negara itu, sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai spekulasi yang tidak berasas.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata laporan yang diterbitkan oleh The New York Times itu hanyalah cubaan untuk memburukkan imej China.
“Laporan tersebut berdasarkan spekulasi yang tidak berasas dan tidak lebih daripada satu cubaan untuk memburukkan China,” katanya dalam sidang media berkala.
Menurut laporan The New York Times, pegawai perisikan Amerika Syarikat membuat kesimpulan bahawa seorang eksekutif China yang mempunyai kaitan dengan syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, Megaspeed, bertindak sebagai aset perisikan China dengan menyalurkan maklumat kepada Beijing.
Laporan itu memetik sumber tanpa nama yang dimaklumkan mengenai siasatan berkenaan.
Megaspeed dilaporkan sedang diteliti pihak berkuasa berhubung kemungkinan menyalurkan cip AI NVIDIA yang canggih ke China.
Dalam pada itu, seorang eksekutif syarikat tersebut yang dikenali sebagai Alice Huang, atau Huang Le, dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan Jensen Huang.
Bagaimanapun, Alice Huang tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA itu.
Sementara itu, NVIDIA menjelaskan bahawa Megaspeed merupakan pelanggan serantau seperti syarikat lain.
Menurut laporan tersebut, NVIDIA juga sebelum ini telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa syarikat Singapura berkenaan menyeludup cip ke China dan mendapati dakwaan itu tidak benar.
Jurucakap NVIDIA, John Rizzo, turut mempertahankan hubungan Jensen Huang dengan Alice Huang, sambil menjelaskan bahawa pertemuan dengan pelanggan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab biasa seorang ketua pegawai eksekutif.
“Interaksi Jensen dengan Cik Huang bukan sesuatu yang luar biasa atau tidak dijangka. Pertemuan dengan pelanggan merupakan sebahagian daripada tugas seorang CEO. Jensen berkomunikasi dengan ribuan eksekutif pelanggan setiap tahun,” katanya kepada The New York Times. – AFP
