BYD Malaysia memperincikan rancangan pelaksanaan teknologi BYD Flash Charging di Malaysia, dengan fasa awal dijangka tertumpu kepada bilik pameran DENZA terpilih sebelum diperluaskan ke lokasi lain.
Perkembangan ini menyusuli pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BYD Malaysia dan Gentari pada 21 Oktober 2026 bagi meneroka pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkuasa tinggi di negara ini.
Menurut BYD, teknologi Flash Charging direka untuk menawarkan prestasi pengecasan optimum pada kenderaan yang dilengkapi Blade Battery generasi kedua, termasuk DENZA Z9GT.

Dengan bateri berkapasiti 122.49kWh dan seni bina voltan tinggi 1,000V, DENZA Z9GT dikatakan mampu dicas daripada 10% kepada 70% dalam masa lima minit, atau daripada 10% kepada 97% dalam sembilan minit menggunakan sistem pengecasan yang serasi.
Model BYD sedia ada juga boleh menggunakan infrastruktur Flash Charging, namun kelajuan maksimum bergantung kepada keupayaan pengecasan masing-masing.
Bagi pelaksanaan di Malaysia, BYD merancang memperkenalkan teknologi berkenaan di bilik pameran DENZA terpilih terlebih dahulu.
Seterusnya, BYD dan Gentari akan meneroka lokasi lain, termasuk stesen PETRONAS, laluan utama antara bandar serta kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya.
Dalam perkembangan berkaitan, DENZA Malaysia turut memperkenalkan pilihan warna baharu Fjord Green untuk DENZA Z9GT, melengkapi warna Rime Gold dan Obsidian Black.
DENZA Z9GT ditawarkan pada harga RM358,800, dengan kuasa sehingga 850kW (1,156PS) serta pecutan 0-100km/j dalam masa 2.7 saat.
Menurut BYD, lebih 100 unit DENZA Z9GT telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia sejak pelancarannya.
Warna Fjord Green kini boleh dilihat di semua bilik pameran DENZA seluruh negara.
Bagaimanapun, BYD masih belum mengumumkan tarikh rasmi operasi dan lokasi pertama stesen Flash Charging di Malaysia.



