Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Gentari x BYD

Gentari, BYD Kerjasama Bawa Teknologi Flash Charging Ke Malaysia

Diterbitkan Oktober 21, 2026 oleh Amsyar Latif

Gentari Sdn. Bhd. dan BYD Malaysia Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pelaksanaan teknologi BYD Flash Charging di Malaysia, yang mampu menyediakan jarak pemanduan sekitar 400km dengan pengecasan serendah lima minit.

Menurut kedua-dua syarikat, keupayaan tersebut boleh dicapai oleh kenderaan elektrik (EV) yang serasi dalam keadaan optimum.

Kerjasama ini turut merangkumi pembangunan infrastruktur pengecasan EV berkuasa tinggi dan penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi menyokong bekalan tenaga yang lebih stabil.

Menerusi MoU tersebut, Gentari dan BYD Malaysia akan mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk membangunkan stesen Flash Charging, termasuk di koridor utama yang menghubungkan bandar dan kawasan berkepadatan penduduk tinggi.

Kedua-dua pihak juga akan menilai keperluan bekalan kuasa, aspek teknikal dan komersial serta model operasi yang sesuai untuk membolehkan teknologi tersebut dilaksanakan pada skala lebih besar.

Kerjasama ini diumumkan ketika penggunaan EV di Malaysia terus meningkat. Menurut kenyataan media, sebanyak 53,537 pendaftaran EV baharu direkodkan bagi sembilan bulan pertama 2026, meningkat 98.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Gentari ketika ini mengendalikan lebih 600 lokasi pengecasan EV di Malaysia, selain menyediakan akses kepada kira-kira 18,000 lokasi pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India melalui Gentari Go Roaming Hub.

Selain infrastruktur pengecasan, Gentari dan BYD turut akan meneroka peluang kerjasama dalam penjanaan tenaga boleh baharu dan penyimpanan tenaga.

MoU tersebut ditandatangani di Shenzhen, China pada 21 Oktober 2026 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gentari, Sushil Purohit dan Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma.

Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan, lokasi pertama serta kadar pengecasan BYD Flash Charging di Malaysia masih belum diumumkan.

Berkaitan

  • Ciri AutoCharge Tiba Di Gentari Go – Pengguna EV Kini Boleh Cas Kereta Tanpa Perlu Buka Aplikasi
  • BYD Sime Motors Lancar BYD Certified, Tawar EV Terpakai Yang Diperakui

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Cara Hidupkan Pengesahan Dua Langkah (2FA) WhatsApp, Langkah Demi Langkah
  • Leica Lancar Kamera Q3 43 Edisi Formula 1, Harga Sekitar RM40 Ribu
  • Anthropic Dilapor Rugi AS$80.7 Bilion, AS$72 Bilion Daripadanya Caj Perakaunan
  • Tonton Netflix Dan YouTube Di UK Mungkin Perlu Bayar Lesen TV £180 Setahun
  • Kerajaan Larang Penjawat Awam Guna Aplikasi Navigasi Waze - Berkuat Kuasa Serta-Merta
  • Kapal Angkasa Jepun Dalam Perjalanan Ke Bulan Planet Marikh, Dijangka Tiba Ogos 2027
  • Xbox Generasi Baharu Dilapor Mungkin Berharga Sehingga AS$1,800
©2026 WISER.MY