MakaKami, sebuah direktori komuniti untuk aplikasi, laman web dan perisian buatan Malaysia, kini menyenaraikan 157 produk tempatan, dengan lapan lagi sedang disemak.

Menurut CodingAssistMY, pasukan pembangunan perisian tempatan yang menyelenggara platform itu, setakat ini, MakaKami mencatatkan 3,933 kunjungan dalam tempoh tiga hari. Sebanyak 1,150 daripadanya datang dari Threads.

CodingAssistMY berkata idea MakaKami tercetus susulan isu Waze dan TuJu baru-baru ini. Isu itu membuatkan mereka tertanya-tanya berapa banyak alternatif buatan Malaysia yang benar-benar diketahui pengguna.
Pada 20 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat menggunakan TuJu, aplikasi yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), atas faktor keselamatan data. Bagaimanapun, LLM kemudian menjelaskan bahawa TuJu tidak dibina untuk menyaingi Waze.
Melalui MakaKami, orang ramai boleh mencadangkan atau menghantar produk. Setiap senarai disemak secara manual oleh moderator sebelum dipaparkan. Produk disusun dalam 17 kategori, termasuk kewangan, pendidikan, Islamik dan halal, AI serta permainan.

Untuk disenaraikan, pembangun, pasukan atau syarikat terbabit perlu berpangkalan di Malaysia. Moderator boleh meminta bukti seperti nombor pendaftaran SSM, alamat Malaysia atau domain .my. Produk tempatan yang menyasarkan pasaran global turut diterima. Kandungan judi, dewasa, penipuan dan perisian hasad pula tidak dibenarkan.
Menurut CodingAssistMY, beberapa kategori masih kurang penyertaan. Kategori kerajaan dan perkhidmatan awam belum mempunyai sebarang senarai, manakala kategori HR dan gaji hanya mempunyai dua produk dan kategori kesihatan empat produk.
Orang ramai digalakkan mencalonkan aplikasi kerajaan yang wajar disenaraikan melalui laman tersebut.
MakaKami menegaskan ia bukan laman rasmi kerajaan atau gedung aplikasi. Ia hanya menyenaraikan dan memautkan kepada produk berkenaan.
Buat masa ini, semua senarai disemak oleh pasukan CodingAssistMY sendiri, yang turut mempromosikan perkhidmatan pembangunan aplikasi dan sistem mereka di laman itu.
Orang ramai boleh melayari direktori tersebut atau menghantar cadangan produk melalui makakami.com.my.
