Bermula Dengan realme X50, Lebih Banyak Lagi Produk 5G Akan Ditawarkan realme Tahun Ini

Beberapa hari yang sudah, anda semua sudah maklum dengan ketibaan peranti 5G pertama keluaran realme iaitu realme X50. Pada acara perasmian yang berlangsung di Beijing itu, realme turut sama berkongsi serba sedikit tentang perancangan mereka dalam mengharungi 2020.

Sebagai nama baru dalam pasaran sengit ini, realme giat menjalankan usaha kearah mengembangkan lagi jenama mereka.



 

Ketika sesi temu ramah antara Ketua Pegawai Pemasaran realme (Xu Qi Chase) serta Ketua Pegawai Produk realme (Derek Wang), kami sempat mengajukan beberapa soalan mengenai realme.

Pertama sekali adalah mengenai rancangan realme pada 2020, adakah jenama ini akan dikembangkan ke rantau lain serta bekerjasama dengan jenama lain.

Menurut Chase, ketika ini realme sudah menembusi pasaran di 22 buah negara seluruh dunia. Mereka bakal meluaskan lagi penawaran ke pasaran yang lain pada masa akan datang. Dari segi kerjasama pula, ia akan berkonsepkan kepada slogan "Dare to Leap".

Realme akan terus membangunkan produk dengan reka bentuk, prestasi dan kualiti yang selari dengan sasaran mereka sebagai jenama teknologi yang mengikuti tren semasa. Kerjasama rekaan dengan Naoto Fukusawa yang tersedia dijalin akan diteruskan dalam jangka masa panjang.



Beliau turut menambah, pembangunan produk IoT akan datang bakal berteraskan tren semasa serta menyasarkan kepada golongan muda. Selain itu, peminat juga boleh menjangkakan lebih banyak kolaborasi dengan filem, permainan serta jenama popular yang lain kelak.

Seterusnya adalah berkenaan bagaimana realme sebagai nama baru dalam telefon pintar, namun sudah berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menjawab persoalan ini, Chase memberitahu realme mendalami pasaran mengikut negara yang ditawarkan. Perubahan strategi pemasaran yang bersesuaian dibuat berlandaskan maklum balas pengguna tempatan terutama sekali melibatkan golongan muda.

Melaluinya, realme pantas dalam menarik perhatian ramai pada setiap pasaran yang ditembusi mereka. Beliau menjelaskan bahawa penghasilan produk yang terbaik menjadi kunci asas dan utama dalam kejayaan mereka.

Turut ditanya adalah bagaimana persediaan realme dalam menghadapi persaingan sengit 5G serta teknologi akan datang.

Menurut Derek Wang, pengguna tidak perlu risau tentang teknologi untuk telefon pintar. Peranti mereka seperti realme XT menjadi yang terawal menggunakan kamera 64MP. Sementara itu X50 pula antara keluaran pertama dilengkapi Snapdragon 765G bagi mengadaptasi sokongan 5G.



Realme menyatakan keyakinan mereka dalam menempuh persaingan dengan tiga faktor. Pertamanya adalah sokongan rantaian bekalan yang sangat baik. Selain itu pasukan R&D yang besar serta berkeupayaan dan terakhir sekali ada kapasiti pengeluaran yang berkualiti tinggi di dunia.

Wang menyimpulkan bahawa dengan ketiga-tiga faktor diatas, realme mampu memacu industri ini dalam beberapa aspek untuk teknologi baru masa depan.



Terdahulu ketika sesi ucapan pelancaran X50, Wang juga ada menyatakan 5G dan AIoT (Artificial Intelligent + Internet of Things) akan menjadi keutamaan realme dalam mencapai matlamat tahun 2020 mereka. Usaha akan ditingkatkan dalam menjadikan realme sebagai pilihan utama golongan muda untuk gaya hidup pintar dan terkini.



Menambah lagi, realme bukan sekadar syarikat pengeluar telefon pintar malah mahu meneroka penawaran Internet Kebendaan (IoT). Ia meliputi pengguna bagi situasi penggunaan individu, keluarga serta mudah alih.

Produk-produk IoT akan diperkenalkan dengan lebih banyak lagi seperti aksesori audio, gelang tangan pintar, TV dan yang berkaitan dengan gaya hidup. Sebagai permulaan kepada itu, realme X50 diperkenalkan dengan produk lain bakal menyusul sekitar suku ke-2 dan ke-3 tahun ini.

Berkenaan dengan sistem antaramuka realme UI, ia merupakan ColorOS 7 yang dibangunkan semula berasaskan Android 10. Ia dijanjikan dengan pengoperasian yang lancar serta memfokuskan kepada kelompok pengguna iaitu golongan muda.



Sistem antaramukanya datang dengan rekaan lebih segar dan realme X50 merupakan yang pertama dilengkapkan dengan sistem ini.



Buat masa sekarang penawaran dibuat hanya pada pasaran China dan ia mengambil sedikit masa untuk dilepaskan kepada pengguna global yang lain.