Berbaloi Atau Tidak Untuk Membeli Peranti Pintar 5G Sekarang Ini?

Cip Snapdragon 865 telah membolehkan banyak model 5G dihasilkan pada tahun 2020 ini. Untuk pasaran Malaysia, peranti seperti Xiaomi Mi 10 dan OnePlus 8 kesemuanya dilengkapi dengan rangkaian 5G.

What Are the Technology Requirements for 5G? Kapsyen: Gambar hiasan


Walaupun rangkaian teknologi 5G di Malaysia masih lagi belum berada pada tahap komersil seperti yang berada pada negara AS atau China, tidak disangkal pada masa akan datang, rangkaian ini akan menjadi lebih baik.

Ia seterusnya menimbulkan pertanyaan "Berbaloi atau tidak untuk membeli peranti pintar 5G sekarang ini?"

Umum mengetahui peranti dengan rangkaian 5G bukannya murah. Sekarang ini, pengeluar cip baru telah pun hadir dengan kumpulan pertama cip 5G seperti Snapdragon 865, Kirin 990 5G, Mediatek 1000 dan Exynos 990.

Walaupun anda mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli peranti pintar 5G jika anda mahukannya, terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira sebelum meneruskan tindakan anda tersebut.

Perkakas Dan Komponen 5G Akan Menjadi Lebih Baik Pada Masa Akan Datang


Pada penghujung Januari lalu, saya telah diberikan peluang untuk merasa sendiri pengalaman menggunakan rangkaian 5G dengan Huawei Mate 30 Pro 5G. Tidak dinafikan 5G berkali ganda lebih pantas dari 4G LTE.

Kapsyen: Huawei Mate 30 Pro 5G


Namun, ada satu perkara yang sangat jelas mengganggu keseluruhan penggunaan peranti. Peranti mudah terasa panas. Antara faktor utama di sebalik kekurangan ini adalah seperti tahap kecekapan cip memproses data dalam 5G. Ia adalah disebabkan tahap kemampuan terhad memproses data bertali arus yang terlampau laju dan banyak.

Jika anda lihat ini adalah perkara yang sama berlaku ketika peranti 4G mula-mula berada di pasaran. Ia mengambil masa bertahun-tahun sehinggalah teknologi 4G semakin matang dan perkakas 4G pada peranti menjadi lebih cekap dalam mengendalikan tenaga.

Apa yang akan terjadi jika anda membeli peranti 5G sekarang? Komponen 5G yang ada pada peranti pintar sekarang ini boleh dikatakan pada gelombang pertama dan belum diuji secara 'matang' untuk tujuan 5G.

Kapsyen: Snapdragon X60, modem 5G yang paling berkuasa buat masa ini.


Ini termasuklah realiti sebenar jangka hayat bateri dan juga suhu peranti ketika mengendalikan rangkaian 5G. Apalah gunanya menggunakan rangkaian 5G tetapi peranti menjadi panas dan juga jangka hayat yang singkat disebabkan ketidakcekapan peranti dalam 'mengurus' rangkaian yang super laju ini.

Peranti 5G Akan Menjadi Lebih Murah Pada Masa Hadapan


Teringat dahulu rangkaian 4G dilihat menjadi pemisah jarak antara kelas mercu dan juga kelas mampu milik. Anda perlu membayar untuk harga yang tinggi jika mahu menggunakan peranti dengan rangkaian ini.

Namun sekarang, kesemua peranti sudah dimuatkan dengan teknologi ini sehinggakan model permulaan pun sudah tiada yang tidak disertakan dengannya.

Kita juga pun sudah melihat gelombang peranti 5G murah dengan kewujudan pengeluar cip seperti MediaTek Dimensity serta HiSilicon Kirin. Antara peranti yang mampu milik dimuatkan dengan rangkaian 5G ini antaranya termasuklah Redmi 10X 5G (belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia) dan juga Huawei Nova 7 SE.

Kapsyen: Redmi 10X 5G, antara peranti termurah yang menyokong rangkaian 5G


Memandangkan progres jarak antara peranti 5G mahal dan peranti 5G murah tidak mengambil masa yang lama, kemungkinan besar penyerapan teknologi ini adalah lebih pantas berbanding dengan rangkaian 4G sebelum ini.

Untuk 'menjadikan' peranti pintar 5G ini lebih murah dalam masa yang pantas, industri perlu lebih awal mewujudkan persekitaran pelan rangkaian 5G yang kompetitif antara syarikat telekomunikasi.

Namun, disebabkan belum lagi dikomersilkan buat masa ini, kita hanya mampu berharap. Akan tetapi, usah risau, kewujudan lambakan peranti model dari pengeluar China yang berlumba-lumba menghasilkan peranti 5G mampu milik adalah tanda-tanda awal untuk masa hadapan 5G pesat yang lebih pantas untuk dicapai berbanding kita dengan 4G sebelum ini.

Sokongan Spektrum Band Untuk Pelan Rangkaian 5G Yang Masih Belum Diketahui


Untuk sesuatu rangkaian telekomunikasi itu berfungsi, ia seharusnya dijalankan melalui spektrum band atau menara pancaran frekuensi masing-masing. Sebagai contoh, Celcom di Malaysia menggunakan frekuensi Band 3 (1800MHz) dan Band 7 (2600MHz) untuk rangkaian LTE.

Kapsyen: Pecahan spektrum frekuensi telco di Malaysia (setakat Ogos 2019)


Pada zaman era 4G masih membangun sebelum ini, ada peranti pintar yang tidak menyokong rangkaian band spesifik menjadikan peranti tersebut tidak boleh menyambungkan kepada pelan telco yang diingini.

Jika anda masih ingat lagi ketika pelancaran telco dari Webe (kini Unifi Mobile), syarikat ini menggunakan frekuensi dari Band 5 (850Mhz) untuk LTE/4G yang mana untuk peranti pintar di Malaysia, ada sebilangan peranti yang tidak menyokongnya.

Ia bertambah teruk lagi-lagi jika anda membeli peranti set import yang memang khusus untuk pasaran negara China. Jadi disebabkan peranti tersebut bukan tujuan asalnya bukan untuk pasaran Malaysia, peranti ini tidak disertakan dengan frekuensi tersebut.

Ini menjadikan ramai pengguna yang mahu menggunakan pelan ini harus membaca spesifikasi peranti dengan lebih terperinci adakah peranti yang dibeli menyokong rangkaian ini.

Berbalik kepada cerita 5G kita, kita masih belum tahu spektrum dan frekuensi manakah yang digunakan oleh syarikat telekomunikasi untuk pelan rangkaian masing-masing.

Anda juga harus mengambil kira rangkaian dari syarikat mana yang lebih meluas untuk 5G, maka pelan dari syarikat itulah yang lebih berbaloi untuk dimiliki.

Kesemua ini memerlukan 'kajian' sebelum membeli yang agak terperinci untuk memastikan anda tidak silap dalam memilih persekitaran 5G yang kurang memberansangkan. Disebabkan itulah, lebih sesuai jika mendengar dahulu pengumuman pelan rasmi dari syarikat telekomunikasi di Malaysia untuk melihat frekuensi mana yang disokong oleh mereka.

Sokongan Liputan Kawasan


Dan faktor yang paling jelas sekali adalah sokongan liputan kawasan. Jika anda membeli peranti 5G sekarang, belum tentu lagi anda pasti akan ada sokongannya walaupun anda duduk di bandar besar sekalipun.

Buat Cara Ini Dulu Sebelum Pilih Line Telco Mana Yang Lagi Power ... Kapsyen: Gambar hiasan


Tidak dinafikan rangkaian 5G akan lebih meluas namun ia juga melibatkan faktor kos pemasangan yang lebih tinggi berbanding rangkaian sebelumnya.

Sebagai contoh, anda boleh membeli peranti pintar 5G sekarang, namun sokongan untuk rangkaian tersebut hanya wujud pada tahun ketiga penggunaan peranti tersebut. Bukankah agak terkilan?

Pada pemerhatian kami, pembangunan 5G ini akan lebih pesat dengan tanda-tanda awal 'aktif' kebanyakan syarikat telekomunikasi. Namun, apa yang pasti jika anda duduk di bandar-bandar besar, peluang untuk merasa rangkaian 5G mungkin lebih sedikit cerah.

4G Pun Sudah Cukup Pantas


Kelajuan 4G sekaran ini adalah masih mencukupi untuk penggunaan peranti pintar seharian anda. Anda boleh melayari web, menghantar mesej, menggunakan media sosial, menstrim video dan juga bermain permainan tanpa rasa terganggu.

Kapsyen: 4G


Buat masa ini 5G untuk peranti pintar boleh dikatakan adalah lebih kepada pemasaran dan juga 'gimik'. Ya, anda mampu memuat turun fail dengan kelajuan super pantas ataupun bermain permainan dengan 0 ping (mungkin). Namun setakat itu sahaja penggunaan untuk kebanyakan orangnya.

Untuk penggunaan masa sekarang, 4G sudah cukup pantas. Kemungkinan pada masa akan datang, 5G mampu merubah konsep kepenggunaan peranti pintar. Namun untuk masa ini, guna sahajalah 4G yang ada itu.

Usah Beli Peranti 5G Disebabkan Hanya Mahu Cuba 5G


Masalah utama yang akan dihadapi adalah apabila pengguna membeli peranti 5G hanya kerana mahu menggunakan rangkaian 5G. Baginya, walaupun rangkaian 5G belum wujud lagi, beliau sudah boleh bersedia dan akan menjadi antara yang terawal menggunakannya jika sudah rasmi kelak.

Kapsyen: OnePlus 8 Pro, antara peranti pintar yang menyokong 5G masa ini.


Sehubungan itu, anda adalah tidak digalakkan untuk membeli peranti 5G buat masa ini jika anda mempunyai alasan yang sama. Yang digalakkan adalah beli peranti baharu seperti biasa, dan jika ada sokongan 5G barulah anda boleh mencubanya kelak.

Berdasarkan argumen-argumen yang dipersembahkan, kita dilihat berada dalam fasa 'tunggu dan lihat'. Yang pertama, kita harus menunggu pengumuman dan pengenalan rasmi rangkaian 5G di negara Malaysia. Yang keduanya adalah lihat sama ada peranti pintar yang wujud pada pasaran ketika itu cekap dalam mengendalikan rangkaian ini atau tidak.

Mengenai progres teknologi rangkaian 5G di Malaysia sebelum ini MCMC telah menyatakan pelan untuk rangkaian 5G akan dikomersilkan sekitar suku ketiga tahun ini. Syarikat telekomunikasi juga kini dalam proses pengagihan spektrum dan frekuensi untuk penggunaan rangkaian ini.

Jadi, sabar. Tunggu dan lihat dahulu bagaimana peranti pintar 5G yang ada pada masa ini diuji untuk penggunaan rangkaian tersebut secara praktikal dan realitinya.