Reaksi Awal Huawei Mate 30 Pro 5G - Bukan Hanya Sekadar Saduran Teknologi Rangkaian Baharu

Apabila mendapat berita mengenai ketibaan Huawei Mate 30 Pro 5G sebagai peranti yang pertama disahkan untuk guna rangkaian 5G di Malaysia, kami berasa teruja. Yang pertamanya adalah mengenai era 5G yang bakal bermula tidak lama lagi. Dan yang keduanya adalah pengalaman baharu menggunakan peranti pintar dengan rangkaian baharu ini. Sebelum ini pembaca sudahpun mengetahui Mate 30 Pro merupakan antara peranti yang cemerlang dari aspek perkakasan, spesifikasi dan kameranya. Ya, mungkin masalah dan isu Google membelenggu peranti ini menjadikannya tidak begitu mesra untuk pengguna yang sudah biasa dengan ekosistem tersebut.



Kami diberi peluang untuk menggunakan peranti ini dan juga pada masa yang sama menguji rangkaian 5G di salah satu tapak ujian 5G iaitu di Langkawi. Jangkaan awal kami mengenai peranti ini adalah ia hanyalah sekadar Mate 30 Pro dengan rangkaian 5G. Namun, jangkaan tersebut sedikit tersasar kerana pada pendapat kami peranti ini adalah lebih dari sekadar saduran teknologi rangkaian 5G. Jadi ini adalah serba sedikit mengenai peranti Huawei Mate 30 Pro yang digunakan selama 2 hari di sana.

Spesifikasi



  • Skrin paparan 6.53 inci (1176 x 2400) OLED dengan 409 ppi

  • HiSilicon Kirin 990 7nm+ EUV

  • CPU 8 teras 2 x Cortex A76 (2.86GHz ) + 2 x Cortex A76 (2.09GHz ) + 4 x Cortex A55(1.86GHz)

  • GPU Mali-G76 MP16

  • RAM 8GB LPDDR4X

  • Storan 252GB (Sokongan kad Nano Memory sehingga 256GB)

  • Kamera belakang 40MP Supersensin utama + 40MP Cine Camera video + 16MP Ultralebar + 8MP telefoto

  • Kamera hadapan 32MP

  • Bateri sebesar 4500mAh dengan pengecasan pantas 40W (USB-C)

  • Pengecasan tanpa wayar 27W

  • Sistem EMUI 10 berasaskan Android 10


Rekaan


Perkara utama yang disedari sebaik sahaja memegang peranti ini adalah rekaan panel belakangnya yang mempunyai kemasan kulit perang keorenan. Ia jelas memperlihatkan sisi premium peranti yang juga turut digandingkan dengan bingkai aluminium yang berwarna keemasan. Kemasan kulit ini dilekapkan dengan begitu rapat dan tidak begitu tebal pada bahagian belakang, jadi kami tidak dapat merasa londehan kulit. Ini juga membuatkan bahagian belakang peranti terasa solid untuk dipegang dan selesa digenggam.



Satu perkara yang turut kami perasan adalah ketinggian bonjol kamera yang kurang menyerlah. Walaupun ia tidak rata sepenuhnya, bonjol tersebut lebih mesra untuk 'dilihat' berbanding Mate 30 Pro biasa.



Pada model Mate 30 Pro biasa, tiada kemasan kulit sebegini membuatkan peranti ini terasa ekslusif dan juga unik berbanding model biasa. Rekaan keseluruhan masih lagi sama dengan takuk yang sama dan juga masih mengekalkan bicu audio 3.5mm.  Peranti juga masih mempunyai lengkungan sisi yang menghilangkan perkakas butang kawalan suara. Jadi untuk melaraskan bunyi, pengguna perlu tap 2x pada bahagian sisi kiri atau kanan dan tatalkan ikon sama ada ke atas atau ke bawah.


Kamera


Huawei Mate 30 Pro 5G masih lagi antara peranti yang sangat handal dalam arena fotografi sama seperti Mate 30 Pro yang biasa. Jika di Mate 30 Pro pun gambar yang diambil sudah cukup memberikan rasa teruja kepada pengguna, versi 5Gnya adalah lebih dari itu.

Menurut Huawei walaupun perkakasan kamera yang ditawarkan adalah sama di antara kedua-dua versi, Mate 30 Pro 5G mempunyai sedikit kelebihan. Yang pertamanya peranti ini mempunyai cip pemprosesan yang 'berbeza'.

Betul walaupun versi 5G masih juga menggunakan cip HiSilicon Kirin 990, ia dibina pada asas yang berbeza. Untuk Mate 30 Pro 5G, cip yang dihasilkan dibina menggunakan teknologi 7nm+ extreme ultraviolet (EUV) berbeza dengan versi biasa yang hanya menggunakan binaan 7nm tradisional. Dengan asas binaan cip yang sedikit berbeza ini, versi 5G menggunakan pemprosesan imej (ISP) yang lebih berkuasa.

Jika anda pernah bertanyakan soalan bagaimana Huawei Mate 30 Pro 5G mendapat skor DxOMark yang lebih tinggi berbanding versi biasa, inilah sebabnya!

Kami telah menguji kamera peranti ini dan pada pendapat kami, ia sebuah kamera yang sangat padu untuk penggunaan harian. Tak cakap banyak, perhatikan sahaja imej yang dihasilkan.



Antara penambahbaikan utama peranti berbanding Mate 30 Pro biasa adalah kualiti zoom kamera yang sangat jelas. Gambar selepas diproses menampakkan perincian dan butiran yang tinggi. Warna juga nampak sangat menyerlah dan lebih kurang sama sahaja dengan lensa utama.



Rata-rata imej terutamanya pada waktu malam mengandungi hingar yang kurang. Night Mode hanya lebih kepada mencerahkan gambar. Namun, dengan mod gambar biasa pun, kami sudah berpuas hati dengan prestasinya pada pencahayaan kurang gelap.



Namun ada masanya, gambar yang terhasil kurang natural disebabkan betapa sensitif dan besarnya sensor kamera. Lihat sahaja gambar dibawah ini. Hasil janaan imej dilihat memisahkan punca pencahayaan dari lampu menyebabkan warna tidak sekata. Sumpah ini bukan apa yang kami lihat terus dari mata kami.



Mahukan bokeh yang berkrim? Ya, Huawei Mate 30 Pro 5G mampu melelehkan air liur anda melihat hasil bokeh yang dihasilkan.



Mudah kata, ia kamera yang boleh diharap untuk menghasilkan gambar yang cantik.



Hasil kamera swafoto merupakan aspek terlemah dalam kualiti kamera secara keseluruhan. Imej menampakkan butiran yang tinggi namun adakalanya warna kulit tidak konsisten dan gambar juga mudah untuk menjadi sedikit overpose.


Prestasi


Selain perbezaan binaan cip tersebut, ada lagi bezanya yang lain. Huawei Mate 30 Pro 5G mempunyai kelajuan cip keseluruhan yang lebih berkuasa. Untuk Mate 30 Pro ia menggunakan 2 teras utama Cortex A-76 (2.86Ghz) + 2 teras pertengahan Cortex A-76 (2.09GHz) + 4 teras jimat tenaga Cortex A-55 (1.86). Manakala versi 5G pula menggunakan konfigurasi teras yang sama. Cumanya teras pertengahan ditingkatkan kelajuan pada 2.36GHz dan teras jimat tenaga kepada 1.95GHz.

Mungkin peningkatan tersebut kedengaran sedikit. Betul, sedikit yang membawakan perbezaan. Untuk ujian prestasi, kami menguji peranti ini menggunakan aplikasi Geekbench 5. Hasilnya mengiyakan spesifikasinya. Kelajuan frekuensi CPU yang telah dipertingkatkan berjaya meraih skor teras tunggal sebanyak 782 dan juga multi-teras sebanyak 3211.



Untuk skor Antutu juga menceritakan perkara sama. Skor yang diperoleh 488085 merupakan antara yang tertinggi dalam carta prestasi peranti. Ia jauh lebih tinggi berbanding pada Mate 30 Pro yang hanya mencatat skor sebanyak 308356.



Skor ini jelas menunjukkan kuasa peranti yang berada pada kelas yang berbeza. Untuk sebuah peranti 5G, semestinya ia memerlukan kuasa yang lebih untuk memproses dan menerima maklumat yang banyak setiap saat. Jadi peningkatan prestasi ini berbanding Mate 30 Pro kami terima dengan tangan terbuka.

Bahagian grafik juga menerima peningkatan prestasi yang serupa. Walaupun peranti dilengkapi dengan GPU sama seperti Mate 30 Pro iaitu Mali-G76, kelajuan frekuensi telah dipertingkatkan dari 600MHz ke 700MHz. Peningkatan prestasi ini sudah semestinya akan meningkatkan lagi kualiti grafik dan mutu permainan secara keseluruhan.

Spesifikasi '5G' pada Huawei Mate 30 Pro 5G


Terlebih dahulu, mari kita lihat spesifikasi berkaitan 5G untuk Huawei Mate 30 Pro 5G. Untuk peranti ini, ia mempunyai modem terbina Balong 5000. Modem ini pada Kirin 990 5G menyokong sehingga 2.4Gbps kelajuan muat turun dan 1.25Gbps muat naik. Walaupun peranti ini menyokong rangkaian SA dan juga NSA untuk 5G, ia hanya boleh menjalankan 5G pada spektrum sub-6GHz sahaja. Ini adalah disebabkan ia tidak menyokong teknologi 5G mmWave.

Walaupun kelajuan spektrum mmWave lebih pantas berbanding spektrum sub-6GHz, ia kurang praktikal kerana kawasan liputan yang rendah dan fitrah frekuensi tinggi yang mudah putus-putus.

Di Malaysia kebanyakan pengeluar yang membangunkan rangkaian 5G, mereka menggunakan teknologi sub-6GHz. Jadi, pengguna tidak perlu risau jika nanti anda membeli peranti 5G yang tidak menyokong rangkaian mmWave.

Hasil ujian rangkaian 5G melalui CPE 5G


Kami pada mulanya menguji kelajuan muat turun 5G menggunakan router CPE 5G yang telah diletakkan sim kad 5G di booth Huawei ketika Projek Demonstrasi 5G berlangsung. Huawei menyediakan beberapa peranti dan produk untuk pengunjung seperti Mate 30 Pro 5G dan laptop Matebook 13 untuk dicuba.



Pada ketika ini terdapat pengunjung lain yang turut menggunakan CPE 5G tersebut untuk menguji kelajuan 5G, jadi bandwidth 5G itu dikongsi antara peranti yang diuji. Ini membuatkan kelajuan 5G yang dicapai kurang memberansangkan. Hanya sekitar 50Mbps menggunakan laptop Matebook 13 dan 100Mbps sahaja menggunakan Mate 30 Pro 5G yang disediakan.



Untuk kelajuan asas rangkaian 5G, kelajuan ini sebenarnya masih laju kerana ia diibaratkan menggunakan internet Wi-Fi berkelajuan tinggi di rumah ataupun pejabat. Dan ia lebih bagus berbanding kelajuan asas pada rangkaian 4G. Antara demo lain yang turut dipertontonkan adalah panggilan video pada jarak 2KM menggunakan Mate 30 Pro 5G. Semasa panggilan video dibuat, tiada sela masa yang kelihatan. Ujian ini menguji tahap latensi rangkaian 5G. Disebabkan latensi yang sangat rendah, panggilan video tersebut sangat natural dan tidak mempunyai lengah masa yang kelihatan di antara pemanggil dan penerima.


Hasil ujian rangkaian 5G melalui sim kad


Ujian kelajuan 5G menggunakan sim kad 5G sendiri memperlihatkan kelajuan mencecah 1.9Gbps pada Huawei Mate 30 Pro 5G. Manakala untuk muat naik pula, kelajuan yang dicatat adalah 132Mbps. Disebabkan ujian kelajuan 5G dilakukan berkali-kali, peranti merasa sedikit panas dari kebiasannya namun tidak terlalu panas untuk dipegang.



Kami juga turut menguji perbezaan kelajuan memasang sekitar 30 aplikasi yang terdapat dalam Huawei App Gallery pada kedua-dua peranti Mate 30 Pro 5G dengan mod 5G dan satu lagi mod 4G. Disebabkan kelajuan 5G yang sangat pantas, aplikasi yang dimuat turun lebih laju berbanding dengan tempoh pemasangannya. Untuk aplikasi yang mempunyai saiz 1GB, ia mengambil masa 1-2 saat untuk selesai dimuat turun dan kurang dari 1 saat untuk aplikasi bawah dari saiz tersebut.



Menurut Huawei, rangkaian 5G akan membolehkan penjimatan penggunaan storan dalaman dalam peranti pintar. Dengan kelajuan yang sangat pantas dan sela masa minimum, aplikasi tidak perlu lagi bersaiz GB-GB besarnya kerana interaksi seperti livestream akan mengambil alih penggunaan aplikasi tradisional. Jika anda bertanyakan impak utama penggunaan 5G pada peranti pintar, ini antara yang bakal mengubah cara penggunaan peranti pintar seharian anda.

Ujian 5G ini adalah menggunakan rangkaian dari kad sim yang dibekalkan oleh Maxis. Kad sim yang dibekalkan ini belum tersedia secara komersil untuk pengguna awam. Dilaporkan, syarikat telekomunikasi akan mula menawarkan pelan 5G bersama-sama kad sim pada suku ketiga tahun ini. Jadi, kemungkinan besar kad sim seperti dari Maxis akan mula menjengah pengguna ketika itu. Selain Maxis, syarikat telekomunikasi lain seperti Celcom, TM, dan U Mobile pun masih boleh disambungkan kepada peranti kerana perjanjian infrastruktur 5G yang saling menyokong antara satu sama lain. Secara keseluruhannya, rangkaian 5G mempunyai purata ping yang rendah sekitar 11ms-20ms. Berbanding 4G yang hanya 40ms-60ms, ping serendah ini sudah semestinya akan mengurangkan lengah terutamanya ketika aktiviti seperti bermain permainan dan juga panggilan video.

Kesimpulan


Ini merupakan peranti yang sangat gah dengan kemampuan prestasi serta kamera yang hebat. Melihatkan kepada perkakakasan yang ditawarkan, Huawei nampaknya semahu boleh untuk memberikan pengalaman kepenggunaan peranti pintar yang lengkap. Namun adakah dengan perkakas yang berkuasa, ia mencukupi untuk pembelian sebuah peranti pintar?

Ketiadaan servis Google untuk peranti ini menjadikan situasi agak kekok. Isu yang sama dialami oleh Mate 30 Pro. Sedikit perkongsian dari pihak Huawei bahawa mereka mencabar diri mereka untuk menggunakan Huawei Mobile Services (HMS) sebagai peralihan dari servis Google. Walaupun penawaran rangkaian menggunakan teknologi 5G semakin hampir di Malaysia, kami pasti harga yang dijual akan menjadi mahal memandangkan peranti ini adalah lebih berkuasa dari Mate 30 Pro.



Peranti ini masih belum punyai harga dan tarikh jualan. Namun disebabkan peranti ini akan jadi yang pertama untuk gunakan rangkaian 5G, ia semestinya akan dijual tidak lama lagi. Meskipun anda membeli peranti ini, anda masih belum lagi boleh gunakan rangkaian 5G tersebut buat masa ini.

Jadi, sementara rangkaian 5G belum boleh digunakan, anda hanya mampu gunakan 2 ciri terpenting Mate 30 Pro 5G ini - iaitu kemampuan kamera dan juga prestasi perkakasannya yang cemerlang. Dengan teknologi 5G yang semakin menghampiri pengguna awam, Mate 30 Pro 5G ini dilihat sebagai peranti penting yang bakal memulakan langkah generasi rangkaian baharu dan juga pilihan pertama pengguna jika mereka mahu gunakan rangkaian 5G kelak.

Berkaitan