MediaTek: Apa Beza Antara Helio Dan Dimensity?

MediaTek merupakan antara pengeluar cip selain dari jenama Qualcomm (Snapdragon), Samsung (Exynos), dan Huawei (Kirin). Sebelum-sebelum ini, reputasi cip ini agak kurang memberansangkan disebabkan banyak laporan mengatakan ia panas dan juga kurang efisien sebagai sebuah cip pemprosesan keseluruhan.

Namun, dengan pelancaran cip seperti Helio G90T iaitu cip yang memfokuskan gaming pada peranti Xiaomi Redmi Note 8 Pro, ia seakan membuka mata ramai pengguna dengan kemampuan sebenar cip MediaTek ini. Ditambah lagi dengan pelancaran cip barisan terbaharu Dimensity seperti Dimensity 1000 yang digunapakai dalam peranti OPPO Reno3 versi China.

Jika dahulu MediaTek hanya memfokuskan kepada satu siri sahaja iaitu Helio. Dengan penambahan siri Dimensity ini, ia menimbulkan banyak pertanyaan dari pengguna, "apa beza antara cip Helio dengan cip Dimensity ini?". Untuk artikel kali ini, saya akan membincangkan mengenai perbezaan antara kedua jenis cip ini.

Pengenalan


Selain membangunkan dan memasarkan cip untuk peranti mudah alih, MediaTek juga ada menghasilkan cip untuk kategori lain seperti automotif, jam pintar, IoT, sistem komunikasi/rangkaian, dan juga lain-lain.

Pada asalnya, MediaTek merupakan pasukan pereka cip elektronik hiburan di rumah untuk syarikat United Microelectronics Corporation (UMC) yang diasaskan pada tahun 1980. Namun, pada tahun 1997, MediaTek keluar dari syarikat UMC untuk menubuhkan syarikat persendirian sendiri di bawah nama MediaTek Inc dan diumumkan secara rasmi pada tahun 2001.

Pada tahun 2004, syarikat MediaTek menubuhkan pasukan mereka cip untuk peranti mudah alih dan nama syarikat ini mula meniti di bibir peminat gajet untuk tahun-tahun seterusnya.

MediaTek Helio


Pada tahun 2015, MediaTek mengumumkan siri Helio yang merupakan sebuah penjanamaan untuk keluarga cip multi-teras 64-bit dari ARM. Sehingga ke hari ini, terdapat 4 sub-siri di bawah Helio yang dimulakan dengan siri A, X, P, dan yang terbaharu G.

  • Helio A


Dari segi penawaran paling rendah, keluarga Helio dimulakan dengan siri A (Advanced) yang memfokuskan kepada peranti kelas permulaan. Peranti yang menggunakan cip siri A ini dijual pada harga yang rendah kerana cip ini hanya meliputi fungsi penggunaan peranti yang asas. Antara model cip yang terdapat dalam siri A adalah Helio A25, Helio A22, dan A20. Contoh peranti yang menggunakan cip ini adalah Nokia 2.3, Huawei Y6, dan juga Lenovo A5s. Rata-rata peranti dengan cip siri A ini dijual pada harga sekitar RM400-RM500.

Kapsyen: Huawei Y6. Imej - TechRadar


  • Helio X


Helio X (eXtreme) merupakan penawaran ditujukan untuk kelas pertengahan dan juga kemampuan multi-teras. Terdapat banyak kontroversi mengenai siri X ini kerana peranti yang menggunakannya akan menjadi cepat panas berdasarkan kebanyakan laporan dan juga ulasan pengguna. Cip X terakhir yang diumumkan oleh MediaTek adalah Helio X30 yang mempunyai sehingga 10 teras pada tahun 2017.

Dengan cip sehingga 10 teras, ia merupakan penawaran teras yang terbanyak dalam keluarga Helio. Selepas model ini, tiada lagi cip siri X yang diumumkan sehingga ke hari ini. Antara peranti yang menggunakan cip siri X ini adalah Meizu Pro 7 Plus dan Vernee Apollo 2 pada tahun 2018.

Kapsyen: Meizu Pro 7 Plus


  • Helio P


Untuk penawaran yang lebih lengkap, terdapat siri Helio P (Premium). Cip ini memfokuskan kepada pakej yang lebih lengkap dari segi teknologi dan paling utama adalah tahap penjimatan tenaga. Siri P ini juga merupakan yang paling banyak digunakan dalam peranti MediaTek.

Walaupun ia merupakan siri yang lebih premium berbanding siri X dan A, namun dari segi prestasi, ia adalah sekitar atau setanding dengan penawaran kelas pertengahan Qualcomm seperti siri Snapdragon 600 dan 700.

Untuk siri P, model terkini yang dikemaskini adalah Helio P95 yang diumumkan pada hujung Februari lalu dan dimuatkan dalam OPPO Reno3 Pro versi global. Buat masa ini, peranti tersebut satu-satunya model yang menggunakan cip berkenaan.

Kapsyen: OPPO Reno3 Pro versi global


  • Helio G


Siri G (Gaming) merupakan penambahan terbaharu dalam keluarga Helio yang memfokuskan kepada prestasi dan teknologi gaming. Produk pertama dalam siri G adalah cip G90 dan G90T. Buat masa ini, ia merupakan cip siri G paling berkuasa dan dibina khas sebagai pesaing kepada cip gaming Qualcomm iaitu Snapdragon 730G.

Terdapat juga penawaran cip gaming untuk peranti bajet seperti G80/G80T dan G70/G70T. Seperti contoh, realme menggunakan cip G70 untuk dimuatkan dalam model kelas permulaan mereka, realme C3 dan memasarkannya sebagai sebuah peranti gaming bajet berharga RM499.

Kapsyen: realme C3


Disebabkan siri G memfokuskan kepada kategori gaming, ia akan menggunakan teras CPU dan GPU yang lebih berkuasa. Secara tidak langsung ia siri G ini bertindak sebagai siri paling berkuasa dalam keluarga Helio.

MediaTek Dimensity


Siri Dimensity merupakan penambahan paling terkini dalam jenama MediaTek. Namun, ia tidak diletakkan di bawah nama Helio kerana ia memfokuskan kategori lain.

Dimensity merupakan siri jenama MediaTek yang memfokuskan kepada rangkaian 5G. Ini adalah perbezaan utama dengan cip Helio kerana cip Helio pada masa ini belum menyokong rangkaian 5G.

Disebabkan cip Dimensity menggunakan rangkaian 5G, prestasi dan kemampuan memproses turut dipertingkatkan dengan CPU dan GPU lebih berkuasa serta lebih jimat tenaga. Secara tidak langsung cip Dimensity secara keseluruhannya merupakan cip paling berkuasa untuk jenama MediaTek mengalahkan kemampuan siri G dalam keluarga Helio.

Dalam siri Dimensity, terdapat 3 cip yang telah diumumkan iaitu Dimensity 800, Dimensity 1000L dan yang paling berkuasa Dimensity 1000. Dengan Dimensity 1000, ia menggunakan teras terkini Cortex-A77 yang juga turut dimuatkan dalam cip Snapdragon 865.

Buat masa ini hanya 1 peranti sahaja yang telah menggunakan siri Dimensity ini iaitu OPPO Reno3 versi China dengan cip Dimensity 1000. Untuk Dimensity 1000L dan 800, masih lagi belum diumumkan mana-mana peranti yang menggunakan cip berkenaan. Namun dijangka lebih banyak peranti yang akan menggunakan cip tersebut selari dengan perkembangan 5G yang lebih meluas.

Kapsyen: OPPO Reno3 versi China

Jadual Perbezaan MediaTek Helio dan MediaTek Dimensity


Untuk melihat perbezaan kedua-dua siri ini dengan lebih mudah, anda boleh merujuk jadual perbezaan yang disediakan.


Rumusan


Secara ringkasnya, boleh diperhatikan Dimensity merupakan siri yang lebih berkuasa berbanding Helio. Selain prestasi, teknologi dan fungsi lain juga lebih baik seperti terutamanya rangkaian dan juga dari segi penjimatan tenaga melalui saiz pembinaan cip yang lebih kecil.

Buat masa ini, siri Dimensity akan menjadi peneraju dari segi teknologi dan prestasi cip paling berkuasa dari MediaTek. Ini juga bermaksud peranti dengan cip Dimensity akan lebih mahal berbanding cip Helio. Namun, dengan teknologi terkini yang disertakan, ia lebih kompetitif untuk bersaing dengan pengeluar cip utama seperti Qualcomm, Samsung dan juga Huawei.

Sumber: Dimensity 1000, Helio G90T

 

Berkaitan