Filem cereka janaan AI sepenuhnya yang pertama di China mula ditayangkan di pawagam pada Jumaat, dalam apa yang dijangka menjadi ujian panggung wayang yang sukar bagi industri teknologi negara itu yang sedang berkembang pesat ekoran jualan tiket awal filem itu yang hambar.
Lebih daripada 10,000 tayangan bagi filem seram sains fiksyen “Sanxingdui: Future Past” telah dijadualkan untuk hari Jumaat, menurut platform tempahan tiket Maoyan.
Walau bagaimanapun, penerimaan orang ramai kurang memberangsangkan.
Hasil jualan tiket pra-tempahan berperingkat pagi Jumaat hanya mencatatkan 80,000 yuan (~RM48,800), manakala jumlah kutipan panggung wayang diunjurkan kekal di bawah 150,000 yuan (~RM91,500), hanya sebahagian kecil daripada kos pengeluaran yang dilaporkan, menurut Maoyan.
Harga tiket sekitar 20 yuan (~RM12) hingga 90 yuan (~RM57), menjadikan jumlah tiket yang terjual hanya beberapa ribu sahaja secara keseluruhannya.
Jiang Defu, CEO syarikat penerbitan Bona Film Group, mengakui penerimaan yang agak dingin itu dalam satu temu bual baru-baru ini tetapi menegaskan bahawa filem berkenaan sedang melangkaui sempadan inovasi.
“Kami adalah yang pertama mencubanya, yang pertama mendapat permit tayangan pawagam, dan yang pertama diuji oleh penonton,” katanya kepada portal industri filem China, Yuli.
“Saya rasa itu bukanlah sesuatu yang mudah sama sekali.”
Hampir 100 orang mengambil masa lebih dua tahun untuk menghasilkan filem itu, yang memakan kos lebih daripada 10 juta yuan (~RM6.1 juta), kata Bona, walaupun semua pelakon, suara mereka, dan latar belakangnya dihasilkan sepenuhnya oleh AI.
Filem tersebut menyentuh tema kemanusiaan dalam era masa depan yang dibentuk oleh AI.
Namun, perkara itu tidak cukup untuk menyakinkan Iris Yang, yang menghadiri tayangan pratonton percuma pada Khamis khusus untuk kenalan pasukan penerbitan dan pekerja industri.
Yang berkata beliau tidak akan membayar untuk membeli tiket berdasarkan kualiti filem berkenaan.
“Jika janaan AI boleh menandingi pengalaman tayangan pawagam seperti ‘Avatar’, saya rasa saya bersedia untuk membayarnya,” katanya, merujuk kepada francais AS yang terkenal dengan kualiti animasinya.
Video janaan AI telah meraih populariti di negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Di Douyin, platform TikTok versi China, drama pendek janaan AI meraih lebih daripada 200 bilion tontonan pada bulan September sahaja.
Namun “penonton tidak akan membayar tiket secara automatik hanya disebabkan ia sebuah filem janaan AI”, kata pengarah AI bebas, Zhang Jun, kepada AFP.
Di alam dalam talian, pengguna media sosial China juga kelihatan tidak yakin dengan pelancaran filem AI di pawagam.
“Jika ia percuma untuk ditonton di platform penstriman, ia boleh menjadi sangat legenda. Tetapi membayar untuk menonton? Orang ramai tidak akan menerimanya pada peringkat ini,” komen seorang pengguna di Weibo.
Di Hollywood, kebangkitan AI telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pekerja filem berhubung prospek kehilangan pekerjaan.
Sebuah filem sains fiksyen janaan AI bertajuk “Gods Don’t Give Gifts” dijadualkan untuk tayangan di AS pada 4 Disember.
Manakala seorang pelakon Hollywood maya dipanggil Tilly Norwood, yang temu bualnya menjadi tular serta mencetuskan kebimbangan isu pekerjaan, juga bakal membintangi filem akan datang bertajuk “Misaligned“. – AFP
