Kalau anda pernah menggunakan komputer Windows sejak dulu, besar kemungkinan anda pernah berjumpa dengan satu tetingkap yang sangat dikenali. Tempoh percubaan WinRAR sudah tamat dan pengguna diminta membeli lesen.
Menariknya, selepas menutup tetingkap tersebut, WinRAR masih boleh digunakan. Fail RAR masih boleh dibuka, kandungan arkib masih boleh diekstrak dan aplikasi itu tidak terus terkunci seperti kebanyakan perisian berbayar moden.
Situasi inilah yang akhirnya menjadikan “trial 40 hari WinRAR” sebagai antara jenaka paling terkenal dalam dunia perisian komputer. Tetapi, adakah WinRAR sebenarnya percuma selepas 40 hari?
Jawapannya, tidak.
Trial Memang Hanya 40 Hari
WinRAR secara rasmi ialah perisian berkonsepkan “try before you buy”. Berdasarkan Perjanjian Lesen Pengguna Akhir (EULA) RAR dan WinRAR, sesiapa sahaja boleh menggunakan perisian tersebut tanpa bayaran untuk tempoh maksimum 40 hari.
Selepas tempoh berkenaan, pengguna perlu membeli lesen sekiranya mahu terus menggunakannya.
FAQ rasmi WinRAR juga cukup jelas. Penggunaan WinRAR selepas 40 hari tanpa lesen yang sah adalah melanggar EULA. Jadi, walaupun aplikasinya masih boleh dibuka, ia tidak bermaksud lesen percubaan itu secara automatik bertukar menjadi lesen percuma.
Persoalannya, kenapa WinRAR masih boleh digunakan?
Kenapa Ia Tak Terus Dikunci?
Di sinilah WinRAR sedikit berbeza. Berbanding menggunakan sistem yang terus menghalang aplikasi daripada digunakan selepas tempoh percubaan tamat, WinRAR menggunakan pendekatan berbentuk peringatan untuk meminta pengguna membeli lesen.

Dan perkara itu bukannya fenomena baharu.
Dalam kenyataan rasmi ketika pelancaran WinRAR 3.80 pada 2008, syarikat itu menerangkan bahawa versi demonstrasi berjalan selama 40 hari sebelum pengguna akan diminta membeli lesen apabila tempoh tersebut tamat.
WinRAR sehingga kini turut mempunyai halaman pemberitahuan khas yang memberitahu pengguna bahawa percubaan 40 hari mereka sudah berakhir, sebelum mengajak mereka membeli lesen bagi menyokong pembangunan WinRAR.
Pendekatan ini selari dengan status WinRAR sebagai sebuah shareware, istilah yang turut digunakan dalam EULA rasminya. Idea asasnya ialah pengguna boleh mencuba perisian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli.
WinRAR pada hari ini turut menggunakan istilah trialware dan “try before you buy” untuk menerangkan model tersebut.
Namun, tiada kenyataan rasmi daripada WinRAR yang mengatakan mereka sengaja memberikan lesen percuma selama-lamanya kepada pengguna yang enggan membayar.
Lebih tepat untuk mengatakan WinRAR tidak menguatkuasakan tamatnya tempoh percubaan dengan mengunci aplikasi sepenuhnya. Dari sudut lesen pula, syarat 40 hari tetap terpakai.
Jadi, Siapa Sebenarnya Beli WinRAR?
Walaupun jenaka internet sering menggambarkan seolah-olah tiada sesiapa pernah membeli WinRAR, perisian itu sememangnya mempunyai pelanggan berbayar.
Bagi organisasi pula, syarat pelesenannya lebih jelas. Menurut FAQ WinRAR, dalam persekitaran pelayan atau rangkaian, lesen berasingan perlu dibeli bagi setiap komputer atau stesen kerja yang memasang, menggunakan atau mengakses WinRAR.
Syarikat win.rar GmbH, yang menguruskan pemasaran, jualan dan sokongan produk RARLAB, ditubuhkan pada 2002. Dalam kenyataan ulang tahun pertamanya pada 2003, syarikat itu mendakwa jualan WinRAR antara April hingga Disember 2002 meningkat sebanyak 160 peratus.
Maksudnya, orang memang membeli WinRAR.
Cuma mungkin tidak seramai yang dibayangkan berdasarkan berapa ramai pernah menggunakannya.
WinRAR Sendiri Dah Ikut Main Meme
Lebih dua dekad kemudian, WinRAR sendiri nampaknya cukup sedar reputasi trial 40 harinya sudah menjadi sebahagian daripada budaya internet.

Pada 30 Jun 2026, akaun rasmi WinRAR di X mengumumkan pelancaran WinRAR 7.23 sambil menulis:
“Terima kasih kepada semua pembayaran anda baru-baru ini, kami akhirnya dapat membangunkan versi baharu!”
Dengan kata lain, mereka berterima kasih kepada semua pembayaran terkini kerana membolehkan versi baharu WinRAR dibangunkan. Ayat tersebut jelas bermain dengan jenaka lama mengenai pengguna yang tidak pernah membeli lesen walaupun telah menggunakan WinRAR bertahun-tahun.
Namun, WinRAR 7.23 bukan sekadar bahan untuk bergurau. Menurut RARLAB dan win.rar GmbH, kemas kini tersebut memberi fokus kepada keselamatan dengan membaiki dua kerentanan serta mengemas kini pustaka pengekstrakan teras.
Jadi, “trial WinRAR yang tidak pernah habis” sebenarnya hanyalah meme.
Secara teknikal, WinRAR memang tidak terus menghalang aplikasi daripada digunakan apabila hari ke-40 berlalu. Tetapi dari sudut lesen, tempoh percubaan tetap sudah tamat dan pengguna yang mahu terus menggunakannya perlu membeli lesen.
Mungkin disebabkan ini yang menjadikan WinRAR begitu unik. Tetingkap peringatan yang asalnya bertujuan menjual lesen akhirnya menjadi salah satu perkara paling dikenali dalam sejarah perisian PC.
{suggest}
