Selain Vivobook 14/16 dan Zenbook A14, ASUS Malaysia turut membawa masuk ASUS Vivobook 14 Flip (TP3407) dan ASUS Vivobook 16 Flip (TP3607). Kedua-dua model ini hadir dengan ciri AI pintar, skrin sentuh OLED, serta engsel 360°, menjadikannya pilihan serba boleh untuk pelajar dan profesional yang memerlukan prestasi tinggi dalam reka bentuk fleksibel.
Dari segi reka bentuk, kedua-dua model ini dilengkapi dengan engsel 360°, membolehkan pengguna menukar mod penggunaan antara laptop, tablet, stand, dan tent dengan mudah.
ASUS turut menyertakan ASUS Pen 2.0, memberikan pengalaman menulis dan melukis yang lebih responsif dan realistik. Vivobook 14 Flip mempunyai skrin 14 inci FHD+ OLED, manakala Vivobook 16 Flip menampilkan skrin 16 inci 3K OLED, yang kedua-duanya menawarkan paparan berkualiti tinggi dengan HDR True Black 500 dan gamut warna 100% DCI-P3 untuk warna yang lebih terang dan realistik.
Skrin ini juga telah mendapat pensijilan TÜV Rheinland, memastikan ia mesra mata dengan kurang cahaya biru dan bebas flicker, mengurangkan keletihan mata walaupun digunakan dalam tempoh yang panjang.
Dari aspek prestasi, kedua-duanya dikuasakan Intel Core Ultra 7 (Series 2) yang dilengkapi dengan Intel AI Boost dan 47 TOPS NPU, meningkatkan kecekapan tenaga serta prestasi AI sehingga 40%.
Ia juga hadir dengan 32GB RAM LPDDR5X berkelajuan tinggi 8533MT/s dan 1TB SSD NVMe PCIe 4.0, memberikan kelajuan pemprosesan yang lebih lancar serta kapasiti penyimpanan yang besar. Sistem AI yang diperkenalkan juga menyumbang kepada pengalaman multitugas yang lebih cekap, manakala grafik Intel Arc Graphics 140V menyokong keperluan kreatif seperti penyuntingan video dan reka bentuk grafik.
Dari segi ketahanan bateri, Vivobook 14 Flip hadir dengan bateri 70Wh, sementara Vivobook 16 Flip pula dilengkapi dengan bateri 75Wh, yang mampu bertahan sehingga 28 jam main balik video dalam satu cas penuh.
Teknologi Fast Charge membolehkan pengecasan sehingga 60% dalam masa 49 minit, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna yang sentiasa bergerak.
Selain itu, USB-C Easy Charge membolehkan pengguna mengecas peranti ini di mana sahaja, sama ada menggunakan pengecas biasa atau ‘power bank’.
Bagi pengalaman audio, ASUS menyertakan teknologi 360° Adaptive Audio dengan Dolby Atmos, yang memberikan bunyi yang lebih imersif.
Dari segi keselamatan, komputer riba ini dilengkapi dengan kamera 1080p FHD yang mempunyai penutup privasi magnetik untuk perlindungan tambahan. Pengguna juga boleh menggunakan Windows Hello Face Unlock untuk akses pantas dan lebih selamat, manakala Microsoft Pluton Chip disertakan bagi mengukuhkan keselamatan data pengguna.
Untuk sambungan, ASUS Vivobook 14 Flip dan 16 Flip menyokong teknologi Wi-Fi 7, yang 4.8 kali lebih pantas berbanding generasi sebelumnya, serta Bluetooth 5.4 untuk sambungan lebih stabil.
Komputer riba ini juga dilengkapi dengan port yang lengkap termasuk 1x Thunderbolt 4, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-C, 1x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1x HDMI 2.1 TMDS, 1x 3.5mm audio jack, dan MicroSD card reader, memberikan kemudahan untuk menyambungkan pelbagai peranti tambahan.
Harga dan ketersediaan
- ASUS Vivobook 14 Flip (TP3407) – RM5,999
- ASUS Vivobook 16 Flip (TP3607) – RM6,099
Bagi yang berminat, komputer riba tersebut boleh didapati di kedai rasmi ASUS Malaysia dan pengedar sah bermula hari ini.
{suggest}
Sumber: Siaran media ASUS