Apple Lanjutkan Tempoh Percubaan Perisian Final Cut Pro X Kepada 90 Hari

Apple kini menawarkan lanjutan tempoh percubaan perisian Final Cut Pro X selama 90 hari. Perisian bagi suntingan video dan audio tersebut pada asalnya hanya ditawarkan selama 30 hari tempoh percubaan.

Dengan tempoh percubaan yang lebih lama, ia mungkin memberi manfaat kepada golongan professional yang bekerja dari rumah, termasuk pelajar yang tidak dapat melakukan tugasan di pusat pengajian serta bagi sesiapa yang ingin belajar menggunakan perisian ini untuk mengisi masa di rumah sepanjang tempoh kawalan ini.

Tempoh percubaan 90 hari perisian Final Cut Pro X versi 10.4.8 ini tersedia bagi semua pengguna Mac secara global. Bagi pengguna yang menggunakan perisian percubaan versi sebelumnya, anda juga layak untuk menggunakan versi ini dengan tambahan tempoh percubaan 90 hari.



Dalam pada itu, Apple turut memberikan tempoh percubaan 90 hari bagi perisian Logic Pro X yang sebelum ini tidak ditawarkan tempoh percubaan. Logic Pro X adalah perisian Apple untuk menghasilkan audio profesional bagi platform macOS.

Pada masa ini, percubaan 90 hari Final Cut Pro X sudah mula ditawarkan, manakala bagi Logic Pro X akan tersedia dalam beberapa hari lagi. Untuk memuat turun perisian ini, layari laman sesawang Final Cut Pro X dan Logic Pro X.

Sumber: MacRumors