Apple Kongsi Sedikit Maklumat Mengenai Teknologi AI Kereta Pandu Sendiri

Suatu ketika dahulu pernah timbul desas-desus mengatakan Apple dalam usaha membangunkan teknologi AI bagi kereta pandu sendiri.

Syarikat itu sememangnya cukup berahsia dengan setiap projek yang mereka jalankan namun baru-baru ini, Apple telah berkongsi sedikit maklumat yang mampu menjawab teka-teki semua pihak.

Pengarah PenyelidikanKecerdasan Buatan Apple, Ruslan Salakhutdinov, pada satu acara tertutup telah berbincang sedikit mengenai projek yang berkait rapat dengan pemanduan automatik.

Antara yang dikongsikan oleh beliau adalah bagaimana teknologi AI dapat membantu kenderaan dalam mengenal pasti objek dan manusia disekeliling sewaktu keadaan yang sulit. Seperti contoh, ketika lensa kamera dibasahi oleh air hujan.

Difahamkan Apple telah mencipta satu sistem yang boleh dioperasikan pada kamera kenderaan. Ia mampu mengenal pasti kedudukan pejalan kaki walaupun ia terhalang dengan kereta yang diparkir.



Selain itu, ia turut berupaya menghasilkan peta 3D yang lengkap menerusi sensor kereta juga mempunyai ciri membuat keputusan dengan pantas apabila menghadapi situasi mendesak, seperti pejalan kaki yang tiba-tiba muncul.

Teknik berkenaan dipanggil sebagai visual SLAM (Simultaneous Location and Mapping) boleh digunakan sama ada pada kereta pandu sendiri, ataupun pada AR(Augmented Reality) dan VR (Virtual Reality).

Tidak dinyatakan bagaimana teknologi ini mahu dikomersialkan dan agak mustahil sekiranya Apple mahu melesenkan sistem itu kepada syarikat yang lain.

Bengkel tertutup tersebut dihadiri oleh penyelidik dari beberapa syarikat gergasi seperti Google, Facebook, Nvidia, Uber dan Microsoft.

Sumber: MIT Technology Review