Apple Beri Penjelasan Mengapa Prestasi Model Lama Menurun

Jika anda seorang pemilik iPhone model lama, anda mungkin dapat merasakan prestasinya semakin lama semakin perlahan.

Seminggu lepas heboh dilaman Reddit, seorang pengguna menyatakan iPhone 6S beliau didapati semakin perlahan selepas menerima kemaskini. Pelbagai cara dilakukan dan yang terakhir sekali beliau menukar bateri yang lama kepada yang baru dan hasilnya iPhone terbabit kembali kepada prestasi yang asal.

Ujian turut dilakukan pada plaltform Geekbench dan mata yang tinggi dicatatkan selepas bateri ditukar kepada yang baru.

Apple memberitahu laman TechCrunch bahawa mereka mengeluarkan kemaskini iOS dan ia menyebabkan pengurangan prestasi kepada model-model lama.

Syarikat itu menjelaskan lagi bahawa bateri lithium ion lama tidak berupaya menyalurkan tenaga pada keadaan sejuk, mempunyai cas bateri rendah yang boleh menyebabkan kerosakan pada komponen elektrik. Disebabkan itu terdapat kes iPhone mati secara automatik bagi melindungi komponen penting.

Oleh hal yang demikian, Apple terpaksa mengurangkan kelajuan peranti melalui kemaskini bagi mengelakkan ia mati secara tiba-tiba. Model-model seperti iPhone 6, 6S, dan SE telah menerima ciri pengurangan kelajuan itu tahun lalu, dan yang terbaru adalah iPhone 7 dengan sistem operasi iOS 11.2.

Berdasarkan beberapa komen daripada pengguna di Reddit, kelajuan peranti boleh dikembalikan semula menerusi penukaran bateri yang lama kepada yang baru.

Sumber: TechCrunch