Apple berdepan tuntutan mahkamah bernilai £2 bilion ($2.7 bilion) yang difailkan oleh pembangunan aplikasi United Kingdom (UK).
Mereka menuduh gergasi teknologi Amerika Syarikat itu memberikan kelebihan tidak adil kepada perkhidmatan pengiklanannya sendiri dengan mengenakan syarat privasi yang lebih ketat terhadap pihak ketiga.
Tuntutan yang difailkan di Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) oleh firma guaman Hausfeld itu berpusat pada sistem Ketelusan Penjejakan Aplikasi atau App Tracking Transparency (ATT) milik Apple, yang turut berada di bawah pemantauan beberapa negara Eropah.
Ciri tersebut, yang diperkenalkan oleh Apple pada tahun 2021, mewajibkan aplikasi untuk mendapatkan kebenaran pengguna menerusi tetingkap timbul (pop-up) sebelum menjejak aktiviti mereka di seluruh aplikasi dan laman web lain.
Sekiranya pengguna menolak, aplikasi berkenaan akan kehilangan akses kepada maklumat pengguna tersebut yang membolehkan sasaran iklan dibuat.
Plaintif berhujah bahawa sistem tersebut “direka dan dilaksanakan secara tidak adil serta tanpa rundingan yang wajar, dengan mengenakan syarat yang lebih ketat kepada pembangun aplikasi pihak ketiga berbanding perkhidmatannya sendiri”.
Keadaan itu menyebabkan “pembangun aplikasi UK tidak sempat menyesuaikan model perniagaan mereka dalam masa yang ditetapkan untuk mengelakkan kerugian besar,” menurut kenyataan daripada Hausfeld.
Pihak berkuasa di Perancis, Jerman, Itali, Romania, dan Poland telah membuka siasatan serupa mengenai ATT, yang dipromosikan oleh Apple sebagai perlindungan privasi.
“Tindakan ini penting untuk melindungi hak perniagaan British yang bergantung kepada Apple, bagi memastikan peraturan yang diletakkan oleh Apple adalah adil, serta memberi pampasan atas kerugian yang dialami oleh syarikat-syarikat British,” kata Ann Pope, bekas pegawai di Lembaga Persaingan dan Pasaran (CMA) yang mengemukakan tuntutan tersebut.
Apple telah didenda 150 juta euro (~RM705.06 juta) tahun lepas di Perancis dan hampir 100 juta euro di Itali bagi kes-kes yang serupa.
Seorang jurucakap Apple memberitahu AFP bahawa ciri tersebut dicipta “untuk memberikan cara yang mudah kepada pengguna bagi mengawal sama ada aplikasi mempunyai kebenaran untuk menjejak aktiviti mereka di seluruh aplikasi dan laman web syarikat lain”.
“Apple terikat dengan syarat yang sama seperti semua pembangun di bawah sistem ATT, dan ciri ini telah diterima baik oleh pelanggan kami serta dipuji oleh penyokong hak privasi,” tambah jurucakap itu.
Syarikat tersebut menafikan semua dakwaan yang dikemukakan dalam tuntutan berkenaan. – AFP
{suggest}
