Apple Bakal Menaik Taraf Macbook Pro 13" Keluaran 2017

Kali terakhir model ini dikemas kini adalah pada Jun 2017.


Apple dilaporkan akan mengemas kini perkakasan Macbook Pro 13" dalam masa terdekat ini. Atau secara khususnya terhadap model Macbook Pro 13" tanpa Touch Bar dengan 2 sambungan Thunderbolt 3 aka USB-C keluaran tahun 2017.

Laporan tersebut adalah berdasarkan kepada pemfailan yang diubah secara ringkas yang terdapat di laman Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC).

Dalam pemfailan tersebut tertera peranti dengan nombor model A2159, yang didapati sepadan dengan pemfailan Apple bagi MacBook yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Ekonomi Eurasian pada bulan Jun lalu.



Berdasarkan kepada rajah di atas, peraturan label menunjukkan rating kuasa yang sama digunakan pada MacBook Pro 13" yang ada ketika ini. Sekaligus mengesahkan bahawa ia adalah merujuk kepada model Macbook Pro 13".

Model Macbook Pro 13" tanpa Touch Bar dengan 2 sambungan Thunderbolt 3 ini masih dijual oleh Apple di laman sesawang rasmi mereka. Sejak 2017 lalu, ia masih kekal menggunakan cip pemprosesan Intel Core i5 Generasi ke-7.

Hanya terhadap model Macbook Pro 13" dan 15" dengan panel Touch Bar sahaja yang dikemas kini perkakasannya oleh Apple yang telah dibuat pada pertengahan tahun ini.

Harga jualan komputer riba Macbook Pro 13" tanpa Touch Bar dengan 2 sambungan Thunderbolt 3 keluaran Jun 2017 ini bermula dari RM5932.00.

Sumber: Macrumors