Susulan laporan mengenai pelancaran aplikasi penstriman eksklusif direct-to-fans pertama oleh Premier League di Singapura sebelum ini, butiran mengenai pilihan pas dan harga langganan rasmi perkhidmatan yang dinamakan Premier League + itu kini telah pun diumumkan, menurut laporan The Straits Times. Aplikasi ini bersiap sedia untuk menemui peminat bola sepak di republik berkenaan bermula musim depan, bersempena dengan sepak mula musim 2026/27 yang dijadualkan pada 22 Ogos nanti.
Menerusi kolaborasi bersama rakan penyiar tempatan, StarHub, Premier League + bakal menawarkan tiga pilihan langganan yang fleksibel mengikut keperluan penonton.
Pilihan pertama ialah Pas 24 Jam yang ditawarkan pada harga S$16, namun akses ini dihadkan untuk tontonan di peranti mudah alih dan komputer riba sahaja.
Seterusnya, Pas Bulanan pula berharga S$44 sebulan dengan kebebasan untuk pengguna membatalkan langganan pada bila-bila masa. Bagi peminat tegar, Pas Tahunan ditawarkan pada harga diskaun S$399 untuk akses penuh selama 12 bulan.
Melalui aplikasi khas ini, pelanggan boleh menonton kesemua 380 perlawanan Liga Perdana Inggeris, termasuk aksi Piala FA dan Community Shield dalam kualiti penstriman sehingga 4K.
Pengalaman tontonan turut dipertingkatkan dengan ciri interaktif seperti pilihan sudut kamera pelbagai (multi-camera), paparan data statistik masa nyata, serta akses 24/7 kepada kandungan eksklusif daripada Premier League Studios.
Bagi pelanggan sedia ada StarHub, kandungan Premier League + ini akan disepadukan terus ke dalam platform sedia ada mereka tanpa caj tambahan, memandangkan pakej sukan StarHub ketika ini ditawarkan pada harga S$40.74 sebulan.
Pihak Premier League menegaskan bahawa Singapura merupakan pasaran pertama di dunia yang menerima perkhidmatan penstriman terus kepada peminat ini sebagai langkah memberikan lebih banyak pilihan fleksibel buat penyokong.
Pendaftaran untuk aplikasi Premier League + ini akan mula dibuka secara rasmi pada 5 Ogos 2026 menerusi laman web mereka.
{suggest}
