AnTuTu Berkongsi Senarai Jenama Telefon Pintar Yang Paling Banyak Diklon Bagi Tahun 2017

Kita sudah lali mendengar mengenai isu telefon pintar klon dijual dipasaran dan sudah pasti ada yang menjadi mangsa membelinya kerana harga yang ditawarkan lebih rendah dari model tulen.

AnTuTu, platform penanda aras bagi spesifikasi telefon pintar, telah berkongsi laporan mengenai jenama telefon pintar yang paling banyak diklon sepanjang 2017 berlangsung.



Berdasarkan laporan, sejumlah 17,424,726 telefon pintar telah dipasarkan keseluruh dunia dan 2.64% daripada jumlah besar tersebut merupakan telefon pintar klon.

Jenama yang paling banyak diklon pada tahun lepas adalah Samsung dengan 36.23%, dimana Galaxy S7 Edge edisi eropah menjadi model tertinggi pengklonan terbabit.



Ia disusuli dengan Galaxy S7 Edge versi China dan model lain yang turut diklon adalah Galaxy W2016, Galaxy W2017 dan Galaxy S8+.

Apple merupakan jenama kedua paling banyak diklon menerusi model iPhone 7. Jenama dari China juga tidak terlepas dimana Xiaomi dengan 4.75% diikuti dengan OPPO 4.46% dan Huawei dengan rekod 3.4%.

Walaupun hanya model klon, kebanyakkan peranti itu membawakan skrin beresolusi tinggi dimana 10.23% daripadanya dilengkapi dengan skrin 1440p QHD.

Sumber: cnBeta