Sebelum ini, Anthropic melaporkan bahawa pihak dari China dan Iran menggunakan AI untuk aktiviti pengintipan. Namun, laporan ancaman September 2026 syarikat itu turut mendedahkan satu lagi operasi berasingan yang secara khusus menyasarkan pengguna dan pengundi di Malaysia.
Menurut Anthropic, pihaknya mengenal pasti dan menutup satu akaun yang menggunakan Claude untuk menjalankan platform manipulasi pilihan raya komersial yang terutama menyasarkan Malaysia. Rangkaian tersebut merangkumi kira-kira 1,000 akaun palsu di X/Twitter, sebuah laman berita palsu serta beberapa dokumen risikan rekaan.

Operasi itu menggunakan data banci, data pilihan raya serta jutaan rekod pengundi bagi membina profil pengundi mengikut kawasan. Anthropic mendakwa sistem tersebut menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen Malaysia, termasuk dengan mengeksploitasi isu sensitif seperti kaum, agama dan institusi diraja.
Claude pula digunakan untuk membantu membina sistem sasaran mengikut kawasan, mengurus rangkaian akaun palsu, menghasilkan logik untuk mengelak pengesanan platform media sosial serta menulis semula kandungan berita.

Antara komponen operasi tersebut ialah sebuah laman palsu bernama Malaysia Pulse, yang mengambil laporan sah daripada media Malaysia sebelum kandungannya ditulis semula menggunakan AI dan diterbitkan dengan nama penulis rekaan.
Anthropic turut mendakwa laman itu menerbitkan semula kandungan daripada media berkaitan negara seperti Xinhua, Sputnik/RIA dan CGTN tanpa mengekalkan atribusi asal.
Platform berkenaan juga dikatakan mempunyai fungsi untuk menetapkan jumlah tontonan palsu bagi sesuatu sasaran. Anthropic berkata mereka melihat satu permintaan untuk menghasilkan satu juta tontonan buatan bagi menyokong akaun Perdana Menteri Malaysia yang sedang memegang jawatan.
{suggest}
Bagaimanapun, Anthropic menegaskan angka prestasi dalam dashboard operasi itu dilaporkan sendiri oleh sistem pelaku dan tidak dapat disahkan secara bebas.
Mereka turut mendakwa pihak di sebalik operasi itu cuba mendapatkan kontrak dengan pengawal selia komunikasi kebangsaan Malaysia. Namun, Anthropic berkata tiada bukti bahawa usaha tersebut berjaya.
Anthropic mengklasifikasikan kempen ini sebagai Category Two dalam Breakout Scale, bermaksud asetnya sudah tersebar merentasi beberapa platform tetapi belum ada bukti ia benar-benar berjaya menembusi komuniti pengguna sebenar secara meluas.
Syarikat itu berkata akaun berkenaan telah dikenal pasti melalui sistem pengesanan dalaman sebelum tindakan diambil untuk memetakan rangkaian operasi dan menghalang penyalahgunaan lanjut.
