Android Sebenarnya Dibangunkan Untuk Kamera Digital, Bukan Telefon Pintar

Anda mungkin membaca artikel ini menggunakan peranti yang menjalankan sistem operasi Android (mungkin sesetengahnya tidak), dan pernahkah anda terfikir bagaimana platform telefon pintar popular ini bermula?

Menurut salah seorang pengasas, Andy Rubin, diawal pembangunan Android, ia direka untuk kamera digital dan bukannya telefon pintar. Ketika pembentangan projek dihadapan pelabur-pelabur pada 2004, konsep asal Android adalah "platform kamera dengan keupayaan menyimpan imej secara dalam talian pada storan awan".



Setahun selepas itu, Google membeli Android dan mengubah konsepnya kepada sistem operasi telefon mudah alih dan dalam masa yang sama, Rubin telah ditawarkan jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Kandungan Mudah Alih dan Digital di Google.

Hal itu disebabkan oleh pasaran kamera digital yang semakin perlahan dan telefon pintar semakin mendapat perhatian,ia membuatkan Rubin dan Google mula mengubah hala tuju Android menjadi sistem operasi percuma.

Selepas 8 tahun menjadi sebahagian daripada Google, Rubin menarik diri dan membangunkan startup sendiri yang menghasilkan telefon pintar Essential.

Kini Android merupakan sistem operasi paling popular di segenap penjuru dunia dengan pegangan pasaran global lebih daripada 88%.

Sumber: DPReview