Susulan daripada insiden kebakaran yang berlaku pada salah satu pesawat mereka minggu lalu, syarikat penerbangan Korea Selatan, Air Busan kini melarang penumpangnya meletakkan bank kuasa ke dalam ruang penyimpanan bagasi kabin pesawat.
Siasatan mengenai punca kebakaran masih berlangsung, tetapi belum ada penemuan rasmi yang mengaitkan insiden itu berpunca daripada bank kuasa.
Pemeriksaan akan dilakukan di pintu masuk pesawat, dan beg yang tidak mengandungi bank kuasa akan ditandakan sebelum dibenarkan masuk ke ruang atas kabin.
Sebaliknya bank kuasa mestilah disimpan bersama penumpang bagi memudahkan tindakan pantas jika berlaku pemanasan berlebihan atau kebakaran.
Langkah ini diambil berikutan peningkatan kejadian bank kuasa yang terlalu panas. Air Busan juga akan menambah latihan kebakaran kru dan menyediakan lebih banyak peralatan kawalan kebakaran di dalam pesawat.
Kebakaran pada 28 Januari dikesan bermula dari dalam ruang bagasi kabin di bahagian belakang pesawat semasa persiapan berlepas ke Hong Kong, tetapi semua penumpang berjaya keluar dari pesawat dengan selamat.
Bateri litium yang biasa digunakan dalam peranti elektronik seperti telefon dan komputer riba, boleh menyebabkan kebakaran jika berlaku litar pintas dan dilarang dimasukkan ke dalam bagasi daftar masuk mengikut piawaian penerbangan global.
{suggest}
Sumber: Reuters