Sejak Google perkenalkan AI Overviews, banyak pemilik laman web mula perasan perubahan ketara pada trafik mereka. Fungsi ini memaparkan jawapan yang dijana oleh AI di bahagian paling atas halaman carian Google, menggantikan posisi utama yang sebelum ini diisi oleh pautan laman web.

Google mendakwa ringkasan AI ini tidak menjejaskan trafik ke laman web lain, tetapi data terbaru daripada Pew Research Center menunjukkan sebaliknya.
Dalam kajian yang melibatkan 900 pengguna di Amerika Syarikat pada Mac 2025, hanya 8 peratus pengguna klik pada pautan apabila carian mereka memaparkan AI Overview.
Sebaliknya, carian tanpa AI Overview mencatat kadar klik sebanyak 15 peratus. Ini menunjukkan penurunan hampir separuh dalam interaksi dengan hasil carian biasa.
Lebih membimbangkan, hanya 1 peratus daripada pengguna klik pada pautan sumber yang digunakan dalam AI Overview itu sendiri. Walaupun Google mengatakan pengguna boleh rujuk sumber asal, statistik membuktikan majoriti hanya baca ringkasan dan berhenti di situ.
Situasi ini memberi kesan besar kepada penerbit dan pencipta kandungan. Trafik yang sebelum ini datang dari Google kini semakin berkurang.
Kandungan masih digunakan sebagai rujukan, tetapi laman web asal tidak menerima pulangan dari segi kunjungan di mana perkara ini amatlah penting buat penerbit kandungan laman web.
Pew juga melaporkan bahawa 1 daripada 5 carian kini mengaktifkan AI Overview. Kebarangkalian meningkat apabila carian ditulis dalam bentuk soalan atau ayat penuh. Sebagai contoh, 60 peratus carian berbentuk soalan akan menghasilkan ringkasan AI di bahagian atas.
Apa yang lebih ketara, ramai pengguna terus hentikan sesi pelayaran mereka selepas membaca AI Overview. Ini bermakna mereka tidak lagi klik atau meneroka hasil carian lain.
Walaupun teknologi ini memudahkan pengguna, ia juga meningkatkan risiko penyebaran maklumat yang tidak tepat, kerana jawapan AI masih terdedah kepada kesilapan.
Trend ini menunjukkan satu perubahan besar dalam cara pengguna mencari maklumat di internet. Bagi pemilik laman web, persoalannya kini bukan sekadar bagaimana untuk muncul di Google, tetapi sama ada pengguna akan klik atau tidak.
{suggest}