Acer hari ini dalam acara Nextatacer, mengumumkan beberapa barisan produk baharu. Salah satu tumpuan utama adalah desktop PC berkuasa tinggi Predator Orion X tetapi dalam saiz lebih kompak.
Ia dikuasakan cip pemprosesan edisi khas Intel Core i9-13900KS serta sistem penyejukan cecair bersaiz 240mm dan dipadankan bersama-sama kad grafik NVIDIA RTX 4090 dengan sistem penyejukan cecair. Paling penting, kesemuanya disumbatkan ke dalam kerangka (casis) lebih kecil dan bukan bersaiz seperti “menara”.
Casis tersebut juga mudah untuk dibuka kerana panel hadapan serta sisinya hadir dengan sistem magnetik yang membuatkan komponen dalaman mudah untuk dinaik taraf kelak.
{suggest}
Selain itu, Predator Orion X turut dilengkapi memori sebesar 32GB DDR5-5600, 2x storan 1TB M.2 SSD dan hot swap NVMe M.2 SSD untuk storan tambahan.
Tidak lengkap PC ini tanpa port yang banyak. Ia mempunyai sambungan Intel Killer E3100G dan Intel Killer Wi-Fi 6E AX211 serta hadir dengan 2x USB3.2 Gen 1 (USB-C dan USB-A), bicu audio dan mikrofon, 1x USB-C 3.2 Gen2x2, 3x USB-A 3.2 Gen2 dan 2x USB 2.0 bersama port RJ45.
Akhir sekali, kegemaran para gamer, pencahayaan RGB padanya boleh dikawal dengan aplikasi PredatorSense 4.0 yang ditawarkan bersama-sama Predator Orion X. Bukan sahaja kawal RGB, pengguna juga boleh mengawal fungsi lain seperti overclocking.
Dalam pada itu, Acer juga mengumumkan dua monitor gaming baharu, iaitu Nitro XZ452CU V dan Predator X34 V.
Nitro XZ452CU V adalah monitor melengkung dengan panel VA berukuran 44.5 inci yang mana lengkungannya 1500R.
Dengan nisbah 32:9, iai mempunyai resolusi 5120×1440 dengan kadar segar semula 165Hz. Turut hadir dengan AMD FreeSync Premium Pro, gamut warna 90% DCI-P3 dan VESA DisplayHDR 400.
Sementara Predator X34 V pula, ia adalah monitor OLED bersaiz 34 inci dengan resolusi UWQHD 3440×1440. Digandingkan bersama VESA DisplayHDR TrueBlack 400, gamut warna DCI-P3 99% serta nisbah 21:9 dengan lengkungan 1800R.
Kadar segar semulanya setinggi 175Hz dan masa tindak balas GTG 0.1 ms serta hadir dengan AMD FreeSync Premium dan VRR (variable refresh rate).
Dari segi harga dan ketersediaan, Predator Orion X dijual pada tanda harga RMB29,999 (~RM19,357) di China dan tersedia bermula September.
Manakala monitor Nitro XZ452CU V dan Predator X34 V, mula dipasarkan pada suku ketiga tahun ini di China dan masing-masing dijual pada harga RMB7,999 (~RM5,161) dan RMB8,999 (~RM5,806).