Lebih 98 Juta Muat Turun, Data Pengguna Muslim Pro Dilaporkan Telah Dibeli Oleh Tentera A.S

Umum mengetahui, Muslim Pro merupakan aplikasi popular bagi menunjukkan waktu solat, arah kiblat, kalendar Hijrah, ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya. Di Play Store, aplikasi itu telah dimuat turun lebih 50 juta. Menurut laman web Muslim Pro, muat turun secara keseluruhan termasuk di App Store adalah lebih 98 juta.

Terbaru, tentera Amerika Syarikat (A.S) dilaporkan telah membeli lebih 98 juta data lokasi pengguna aplikasi Muslim Pro. Terdapat dua cara yang digunakan oleh tentera A.S bagi mendapatkan data lokasi pengguna aplikasi itu.



US Special Operations Command (USSOCOM), sebuah cabang tentera yang ditugaskan untuk melawan keganasan, pemberontakan dan pengintipan khas, telah membeli data ini dari Locate X bagi membantu operasi pasukan khas luar negara.

Selain itu, data ini turut dibeli melalui X-Mode, yang mengumpul data lokasi secara terus dari aplikasi, dan menjualnya kepada kontraktor tentera A.S.

Dalam satu kenyataan, jurucakap USSOCOM, Navy Cmdr. Tim Hawkins mengesahkan pembelian data dari Locate X. Beliau turut menyatakan akses data itu digunakan untuk menyokong keperluan misi Pasukan Operasi Khas di luar negara.

Sebagai tambahan, USSOCOM akan mematuhi prosedur dan polisi yang telah ditetapkan bagi melindungi privasi, kebebasan sivil, hak perlembagaan dan undang-undang warganegara Amerika.

Dalam pada itu, Motherboard menyatakan tidak mengetahui sebarang operasi khusus di mana data lokasi berasaskan aplikasi ini telah digunakan oleh tentera A.S.

Pihak Muslim Pro juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara ini.

Sumber: Vice