70,000 PKS Terima Manfaat Dari Pakej Bantuan Peniaga Shopee Bernilai RM15 Juta

Platform e-dagang, Shopee mengumumkan Pakej Bantuan Peniaga berjumlah RM15 juta yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 70,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Pakej bantuan tersebut diumumkan untuk membantu perniagaan yang terjejas dengan ketara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif ini akan membantu perniagaan tempatan dalam pelbagai sektor termasuk hasil segar, peruncitan, makanan dan minuman (F&B) dan banyak lagi dengan memacu pendigitalan perniagaan tradisional dan membawa perniagaan tersebut atas talian.

Selain itu, ia bertujuan untuk menyokong semua peniaga di bawah pakej ini dengan mewujudkan peluang jualan dan pertumbuhan, mengurangkan kos operasi dan memudahkan pembangunan mampan melalui pembiayaan, subsidi dan pendidikan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, Pakej Bantuan Peniaga Shopee bertujuan mewujudkan impak jangka masa panjang yang positif, walaupun selepas PKP.

Bantuan Shopee

Pakej Bantuan Peniaga Shopee dibuka untuk permohonan bermula 13 April hingga 31 Mei 2020. Ia akan memberikan manfaat termasuk subsidi yuran peniaga, sokongan jualan peniaga, pakej pendigitalan, semua manfaat peniaga sedia ada dan pendidikan dari kursus percuma Shopee University.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pakej Bantuan Peniaga Shopee, layari https://shopee.com.my/m/pakej-bantuan-peniaga.