5G Dijangka Hadir Ke Malaysia Pada Separuh Kedua 2020

Pada bulan September lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengumumkan bahawa ada lapan buah syarikat yang komited untuk melabur secara awal bagi menjayakan projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Lapan buah syarikat tersebut terdiri daripada:

  • Altel Communications Sdn. Bhd

  • Celcom Axiata Bhd

  • DiGi.Com Bhd

  • edotco Group Sdn. Bhd

  • Maxis Bhd

  • Petronas

  • Telekom Malaysia Bhd (TM)

  • U Mobile Sdn. Bhd


Namun, enam buah syarikat telekomunikasi tersebut telah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan 37 kes penggunaan dalam bidang pendidikan, hiburan, bandar pintar dan sebagainya.

Demi keinginan untuk beralih ke rangkaian 5G pada tahun hadapan, Malaysia telahpun melancarkan demonstrasi tersebut di seluruh negara, dan secara tidak langsung menjadikan negara ini antara yang pertama di Asia memanfaatkan teknologi tersebut.

Selain itu, industri negara juga dilihat lebih ke arah mewujudkan penggunaan aplikasi 5G yang kukuh, yang akan dapat mengubah pelbagai industri serta meningkatkan taraf hidup dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Dengan itu, kerajaan nampaknya telah memperkukuhkan lagi aspirasinya untuk mengembangkan ekosistem digital dengan memperkenalkan geran Pembangunan Ekosistem 5G, yang bakal memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk menceburi pembangunan 5G bagi memenuhi permintaan penggunaannya.

Dalam pada masa yang sama, Pelan Penyambungan Fiber Nasional (NFCP) dilancarkan, berserta dengan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang diwujudkan bermatlamat untuk meningkatkan lagi kualiti Internet dan merapatkan jurang digital luar bandar.



"Pengawal selia mengekalkan sasarannya bahawa 5G akan digunakan mulai separuh kedua tahun depan yang bermakna risiko perbelanjaan modal 5G akan mula dilihat pada 2020, bukannya 2021," menurut Maybank IB Research dalam kenyataan di Bernama.

Celcom Axiata Bhd dan Maxis Bhd menandatangani memorandum persefahaman untuk meneroka potensi perkongsian yang memberi tumpuan khusus kepada penggunaan infrastruktur 5G bersama di beberapa kawasan terpilih. Potensi ini juga akan membuka jalan bagi penyambungan rangkaian 5G yang bertaraf dunia.

Huawei Malaysia turut bekerjasama dengan U Mobile Sdn Bhd dan Maxis Bhd bagi pelaksanaan perkhidmatan ini. Kerjasama antara syarikat-syarikat ini akan menjadi kaedah pelaksanaan dalam industri untuk meneroka penembusan 5G yang lebih teratur di negara kita.

Sumber: Bernama