Pelajar sering bergantung kepada chatbot kecerdasan buatan (AI) untuk mencari bahan rujukan, sedangkan AI boleh menghasilkan sumber yang tidak wujud atau maklumat yang tidak tepat.
Bagi tugasan dan kertas kerja akademik, lebih selamat merujuk terus kepada pangkalan data ilmiah yang mengindeks jurnal, tesis dan kertas persidangan sebenar.
Berikut adalah senarai laman web serta pangkalan data akademik yang boleh digunakan oleh pelajar:
Google Scholar

Google Scholar ialah enjin carian percuma yang mengindeks teks penuh serta metadata literatur ilmiah daripada pelbagai format dan disiplin ilmu. Ia merangkumi artikel jurnal, tesis sarjana dan PhD, buku akademik, kertas persidangan serta laporan teknikal.
Pelajar boleh mencari bahan mengikut julat tahun tertentu dan menggunakan ciri ‘Cited by’ untuk melihat berapa banyak kajian lain yang merujuk sesebuah artikel. Ia juga boleh menjana format petikan automatik (APA, MLA, Harvard, Chicago) yang boleh terus disalin ke dalam senarai rujukan.
Bagaimanapun, Google Scholar turut mengindeks bahan yang tidak melalui semakan sejawat (peer review). Pelajar masih perlu menyemak jurnal atau penerbit sesebuah artikel sebelum merujuknya.
Pautan lama web: https://scholar.google.com/
CORE

CORE berfungsi sebagai agregator kandungan akses terbuka yang menghimpunkan dan mengindeks jutaan artikel penyelidikan teks penuh daripada repositori universiti dan institusi penyelidikan antarabangsa. Menurut CORE, ia merupakan agregator kertas penyelidikan akses terbuka terbesar di dunia.
Platform ini menyediakan akses percuma kepada artikel teks penuh (full-text) tanpa halangan paywall atau langganan berbayar.
Ini sangat membantu apabila pelajar perlu mencari tesis atau kajian dari universiti luar negara yang tidak diterbitkan dalam jurnal komersial.
Pautan laman web: https://core.ac.uk/
DOAJ (Directory of Open Access Journals)

DOAJ ialah direktori dalam talian yang menyenaraikan jurnal akademik akses terbuka yang telah melepasi proses kawalan kualiti dan semakan sejawat.
Senarai ini membantu pelajar mengelak jurnal daripada penerbit pemangsa (predatory publishers).
Artikel dalam jurnal yang tersenarai boleh dimuat turun secara percuma dan sah dari segi undang-undang hak cipta.
Pautan laman web: https://doaj.org/
Scopus

Scopus merupakan pangkalan data abstrak dan indeks petikan berbayar milik Elsevier, yang didakwa terbesar di dunia bagi literatur semakan sejawat. Ia merangkumi bidang sains tulen, sains sosial, perubatan dan kejuruteraan.
Scopus menjadi antara penanda aras utama kualiti jurnal di universiti tempatan dan antarabangsa. Melalui penarafan CiteScore, pelajar boleh mengesan topik kajian yang popular serta menilai reputasi dan kebolehpercayaan sesebuah jurnal.
Pelajar universiti awam biasanya boleh mengakses Scopus secara percuma melalui portal e-sumber perpustakaan universiti masing-masing, manakala akses di universiti swasta bergantung kepada langganan institusi.
Pautan laman web: https://www.scopus.com
Web of Science

Web of Science (WoS), dahulunya dikenali sebagai ISI Web of Knowledge, merupakan antara pangkalan data indeks penyelidikan yang paling dihormati dengan kriteria pemilihan jurnal yang ketat. Ia mengindeks jurnal di bawah Science Citation Index Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI).
WoS sesuai dijadikan rujukan utama untuk kajian literatur (literature review) tesis sarjana dan PhD, kerana jurnal yang diindeks telah melalui proses semakan sejawat oleh pakar bidang.
Sama seperti Scopus, WoS ialah pangkalan data berbayar dan biasanya diakses melalui perpustakaan universiti.
Pautan laman web: https://clarivate.com/academia-government/scientific-and-academic-research/research-discovery-and-referencing/web-of-science/
ERIC (Education Resources Information Center)

ERIC pula ialah perpustakaan digital khusus yang menumpukan kepada penyelidikan dan maklumat dalam bidang pendidikan, psikologi pembelajaran, sains sosial dan dasar persekolahan.
Ia mempunyai carian khas berasaskan Thesaurus ERIC untuk mencari istilah pendidikan yang spesifik, selain menyediakan ratusan ribu dokumen dan kertas persidangan yang boleh dimuat turun secara percuma.
Pautan laman web: https://eric.ed.gov/
ResearchGate

ResearchGate ialah platform rangkaian sosial akademik di mana penyelidik, pensyarah dan saintis berkongsi hasil kajian, bertanya soalan serta mencari rakan kerjasama.
Pelajar boleh memuat turun artikel kajian secara terus daripada penulis asal. Sekiranya artikel tersebut dikunci (private), pelajar boleh menggunakan butang Request Full-Text untuk meminta salinan terus daripada pengarang.
Bagaimanapun, kandungan ResearchGate dimuat naik sendiri oleh pengguna dan tidak disemak oleh platform. Pastikan artikel yang dirujuk telah diterbitkan dalam jurnal yang diiktiraf.
Pautan laman web: https://www.researchgate.net/
SSRN (Social Science Research Network)

SSRN merupakan repositori akses terbuka yang memfokuskan penyelidikan akademik dalam bidang sains sosial, undang-undang, perniagaan, kewangan dan ekonomi.
Ia menjadi platform utama untuk penyelidik memuat naik working papers sebelum diterbitkan secara rasmi. Ini membolehkan pelajar mendapatkan kajian terkini tanpa perlu menunggu proses penerbitan jurnal yang mengambil masa lama.
Namun, working papers belum melalui semakan sejawat. Pelajar perlu berhati-hati apabila memetiknya dalam tugasan.
atkan data dan statistik perniagaan atau ekonomi yang paling terkini (up-to-date) tanpa perlu menunggu proses penerbitan jurnal yang mengambil masa lama.
Pautan laman web: https://www.ssrn.com/ssrn/
Semantic Scholar

Dibangunkan oleh Allen Institute for Artificial Intelligence (AI2), Semantic Scholar menggunakan pemprosesan bahasa semula jadi untuk menganalisis konteks dokumen akademik, mengekstrak dapatan utama serta mengenal pasti hubungan antara kertas kajian.
Platform ini turut menyediakan ringkasan satu ayat (TLDR) yang dijana AI bagi membantu pelajar menentukan sama ada sesebuah kajian relevan atau tidak. Ringkasan ini sesuai sebagai panduan awal sahaja, dan pelajar masih perlu membaca artikel asal sebelum merujuknya.
Pautan laman web: https://www.semanticscholar.org/
DOI (Digital Object Identifier)

DOI bukanlah pangkalan data carian seperti Google, sebaliknya ia merupakan sistem pengecam digital kekal yang diberikan kepada dokumen akademik rasmi di internet.
DOI membolehkan pelajar mengakses semula sumber asal artikel atau tesis dengan pantas walaupun alamat web (URL) asal penerbit telah berubah atau rosak.
Ia juga memudahkan pensyarah mengesahkan kewujudan sumber rujukan yang dimasukkan dalam senarai bibliografi.
Pautan laman web: https://www.doi.org/
Penggunaan pangkalan data ilmiah ini bukan sahaja membantu pelajar memperoleh maklumat yang tepat dan sahih, malah memastikan kualiti penulisan akademik sentiasa terpelihara mengikut piawaian institusi pengajian tinggi.
