Xiaomi kini sudah memperkenalkan kereta elektrik terbaru mereka, SU7 Ultra. Seperti SU7, ia menawarkan prestasi tinggi berbanding model sebelum ini. Melalui prestasinya, SU7 dilihat berjaya memecahkan rekod dunia di litar Nürburgring Nordschleife Jerman dengan mencatat masa pusingan terpantas, iaitu hanya 6 minit 46.874 saat sahaja. Sekali gus menjadikannya kereta empat pintu terpantas dalam sejarah litar tersebut.
Sebagai perbandingan di litar sama, Porsche Taycan mencatat rekod 7 minit 7.55 saat. Sementara, Rimac Nevera pula 7 minit 5.298 saat. Menurut Xiaomi, SU7 Ultra boleh mencapai kelajuan dari 0 ke 100 km/j dalam 1.98 saat dan mampu mencapai kelajuan sehingga 350 km/j.
Kereta ini didatangkan dengan tiga motor elektrik yang merangkumi dua Xiaomi V8 dan satu Xiaomi V6. Ia menghasilkan 1,526 kuasa kuda. Selain itu, ia menggunakan bateri Qilin 2.0 yang dibangunkan CATL dengan kuasa 93.7 kWh. Bateri tersebut menampilkan sistem penyejukan dwi-permukaan, struktu sel-ke-badan (CTB) untuk meningkatkan keselamatan.
Dari segi pengecasan, baterinya boleh dicas dalam masa 11 minit dari 10% ke 80%. Rekaan SU7 Ultra mirip SU7 biasa tetapi ada sentuhan sporty dan lebih aerodinamik. Tayar Pirelli P Zero 5 pada kereta ini adalah bersaiz 21 inci. Bahagian dalam kereta pula kelihatan mewah dengan kulit alcantra pada kerusi, pintu dan elemen lain.
https://x.com/Xiaomi/status/1851264488273821794/photo/1
Xiaomi SU7 Ultra dijual pada tanda harga RMB 814,900 (~RM500,900) di China. Buat masa sekarang, pembeli yang berminat hanya boleh membuat prapesan sahaja dan pengeluaran adalah bermula bulan Mac 2025.
Sumber: Xiaomi