Xiaomi Perkenal "Kembar" Apple Watch Pada Harga Lebih Murah

Disamping pengenalan Mi CC9 Pro, Xiaomi tidak ketinggalan untuk memperkenalkan jam tangan pintar mereka, Mi Watch yang mempunyai rekaan mirip seperti Apple Watch.

 



Menjalankan sistem MIUI Watch berasaskan WearOS didalamnya, Mi Watch beroperasi menggunakan cip Snapdragon Wear 3100 bersama-sama storan 8GB dan RAM 1GB. Skrin berjenis AMOLED dengan ukuran 1.78 inci digunapakai pada jam tangan pintar ini yang turut mempunyai ciri Always on Display.

Dari segi sambungan, Xiaomi menyediakan peranti ini dengan sokongan GPS, NFC, Wi-Fi 802.11b/g/n 2.4 GHz, Bluetooth 4.2 serta eSIM.

Menurut Xiaomi, jam tangan pintar ini berupaya untuk memantau tahap tekanan dan tidur malam pengguna menerusi ciri pantauan kadar degup jantung yang sentiasa aktif. Selain itu, ia menghadirkan dengan pelbagai mod riadah yang boleh dipilih mengikut aktiviti pengguna.

Ia mempunyai dua versi yang dibezakan pada bateri serta binaan, iaitu 570mAh dijual pada 1300 yuan (~RM767) dan versi eksklusif bersama binaan nilam serta keluli tahan karat dengan bateri 590mAh diletakkan pada nilai 2000yuan (~RM1179).