Xiaomi Mi A1 Terima Sokongan Pengecasan Pantas Melalui Android Oreo Beta

Xiaomi Mi A1 merupakan salah satu model kelas pertengahan yang ditawarkan pada harga mampu milik.

Didatangkan dari kotak dengan Android Nougat, kini Xiaomi sedang mempersiap sistem operasi Android Oreo untuk peranti berkenaan dan ia sudah memasuki fasa ujian beta.

Sedikit menghampakan kerana model ini tidak hadir dengan ciri pengecasan pantas tetapi dilaporkan ia akan ditawarkan menerusi kemaskini Android Oreo.

Ia telah disahkan oleh sebuah laman teknologi dari India, Telecomtalk, yang sudah menguji ciri tersebut. Berdasarkan ujian, Mi A1 berupaya mengecas penuh 100% dalam tempoh hanya 92 minit yang mana sebelum ini ia mengambil masa hampir 2 jam lamanya.

Ujian pengecasan itu menggunakan pengecas OnePlus 5T dan bukannya pengecas asal Mi A1.

Selain daripada ciri pengecasan pantas, Android Oreo beta bagi Mi A1 turut mengandungi ciri Picture in Picture dan beberapa penambahbaikan yang lain.

Kini versi beta sudah dikeluarkan untuk beberapa pengguna terpilih, dan ia bermakna versi stabil akan muncul tidak lama lagi.

Sumber: Telecomtalk via Lowyat.net