Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Industri Digital Malaysia Belum Sedia Hadapi Cukai Digital – IPAY88

Posted on Oktober 30, 2018

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) — iPay88 Holding Sdn Bhd mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan cukai berasaskan keuntungan yang lebih membina dan bukannya berasaskan industri digital secara menyeluruh yang berkemungkinan diumumkan dalam  Belanjawan 2019 pada Jumaat ini.

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutifnya, Chan Kok Long dalam satu kenyataan hari ini berkata ini memandangkan industri digital di Malaysia masih belum bersedia pelaksanaan cukai digital ketika sektor terbabit masih berusaha meraih keuntungan.

“Industri teknologi kewangan (fintech) misalnya telah mengubah industri kewangan dan cara perniagaan dijalankan. Namun, para penggiat industri masih dalam peringkat melabur dalam perniagaan berbanding mencatat keuntungan,” katanya.

Çhan turut menyifatkan industri digital Malaysia masih dalam peringkat awal dan kebanyakan syarikatnya terus berusaha untuk mencatat pulangan.

Sehubungan itu, beliau berkata sebarang langkah pelaksanaan cukai ke atas industri baharu sebaliknya hanya merugikan Malaysia apabila para pesertanya beralih ke lokasi lain seperti di negara jiran.

“Pelaksanaan cukai digital pada masa ini akan menyekat inovasi dan pertumbuhan industri berbanding kehadiran penggiat asing ke dalam pasaran,” katanya.

Sambil mengakui keperluan kerajaan untuk melakukan kutipan cukai, Chan berkata Malaysia sewajarnya melaksanakan cukai yang berasaskan keuntungan berbanding berasaskan industri itu secara menyeluruh.

“Sebagai contoh, penggiat antarabangsa itu yang perlu dikenakan cukai kerana mereka sudah sedia berjaya sehingga mampu berkembang ke pelbagai negara.

“Kami juga percaya, kerajaan perlu menetapkan cukai keuntungan berasaskan margin bagi membolehkan industri itu berkembang kepada ekonomi yang maju.

“Selain itu, kami juga berharap kerajaan akan melakukan kajian mendalam terhadap industri ini serta cabaran yang ada sebelum bertindak memperkenalkan cukai digital dan tidak menyekat pertumbuhan sektor ini,” katanya.

— BERNAMA

Sumber gambar utama: Mishcon

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress