Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Paynet, Soft Space Akan Lancar Aplikasi Bagi Pembayaran Melalui Kad

Posted on Oktober 29, 2018
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bekerjasama dengan Soft Space Sdn Bhd (Soft Space) akan melancarkan Fasstap, aplikasi mudah alih yang membolehkan perniagaan kecil dan pemilik tunggal untuk menerima pembayaran melalui kad MyDebit.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser berkata kerjasama tersebut sejajar dengan objektif syarikat untuk menjadikan pembayaran tanpa tunai dapat digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

PayNet adalah pengendali MyDebit, skim kad debit nasional yang membolehkan pengguna menggunakan kad ATM mereka untuk membuat pembayaran.

“Kami memulakan percubaan perintis untuk menerima pembayaran MyDebit melalui Fasstap berikutan penyelesaian itu menjanjikan pengurangan kos yang ketara kepada peniaga untuk menerima pembayaran melalui kad.

“Perniagaan kecil, termasuk penjaja, penjual di tepi jalan dan peniaga pasar malam hanya memerlukan telefon pintar untuk mengutip pembayaran melalui kad debit daripada pelanggan mereka, apabila kami bersedia untuk melaksanakannya secara komersial sepenuhnya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Soft Space, Joel Tay berkata aplikasi tersebut membolehkan perniagaan menggunakan mana-mana telefon pintar Android yang disokong teknologi komunikasi berkaitan untuk menerima dan memproses pembayaran kad debit tanpa bergantung kepada mesin terminal bayaran (POS).

“Dijana oleh teknologi milik Soft Space, juruwang atau penjaga kedai hanya membuka aplikasi Fasstap di telefon pintar mereka dan dengan beberapa klik, dengan mudah dan selamat menerima pembayaran kad MyDebit.

“Fasstap juga boleh memproses pembayaran melebihi RM250 bagi kad tanpa sentuh atau pembayaran paywave,” katanya.

Pada masa ini, fi transaksi MyDebit untuk perniagaan, atau lebih dikenali sebagai kadar diskaun peniaga, pada purata 0.56 peratus berbanding purata 1.33 peratus bagi kad kredit.

— BERNAMA

Sumber gambar utama: Fintech Malaysia

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress