Xiaomi Mi 10T Dan Mi 10T Pro Akan Guna Cip Snapdragon 865 Dan Panel 144Hz LCD

Xiaomi masih belum puas lagi dengan siri Mi 10. Selepas melancarkan Mi 10 Ultra baru-baru ini untuk pasaran China, Xiaomi akan menambah 2 buah model terbaharu tidak lama lagi iaitu Mi 10T dan Mi 10T Pro.

Melalui blog MuyComputer, ia menyenaraikan kedua-dua Mi 10T dan Mi 10T Pro akan dijana cip pemprosesan Snapdragon 865, bukannya 865+. Tidak dapat dipastikan mengapa Xiaomi memilih cip tersebut bukannya varian 865+ yang lebih berkuasa itu.

Apa yang menarik lagi adalah siri Mi 10T ini akan dilengkapi dengan panel LCD, bukan lagi OLED sepertimana siri Mi 10 dan juga Mi 10 Ultra.



Namun, LCD-LCD pun, kadar segar semula 144Hz turut disertakan yang menjadi nadi gerakan paparan 6.67 inci beresolusi FHDnya.

Akibat dari penggunaan panel LCD tersebut, pengimbas cap jari tidak boleh diletakkan pada bahagian panel kerana hanya OLED sahaja yang mempunyai teknologi berkenaan. Lantas, ia dimuatkan pada bahagian sisi telefon.

Perbezaan utama Mi 10T dan Mi 10T Pro terletak pada konfigurasi kamera belakang. Pada Mi 10T, akan terdapat 3 lensa dengan 64MP utama, 20MP sudut lebar, dan 12MP telefoto.

Mi 10T Pro juga menggunakan tetapan kamera belakang namun lensa 64MP tersebut digantikan dengan 108MP pula.

Untuk bateri, kapasiti 5,000mAh dimuatkan manakala bahagian perisian menjalankan MIUI 12 yang berasaskan Android 10.



Tiada tarikh pelancaran yang dinyatakan buat masa ini. Berdasarkan padanan spesifikasi dalam siri Mi 10T ini, boleh dikatakan ia disasarkan untuk kategori mampu milik dan bukannya produk mercu.

Sumber: Muycomputer

Berkaitan