Xiaomi Dikatakan Sedang Melihat Ke Arah Peranti Gaming

Kebanyakkan peranti telefon pintar utama di dunia sudah dilengkapi perkakasan yang lebih dari perlu untuk memainkan permainan video di peranti tanpa digelar peranti gaming.

Namun apabila Razer dengan Razer Phone mereka hadir ke pasaran global dengan perkakasan yang sedikit berbeza, terma gaming phone menjadi sesuatu yang agak cliche bagi dunia telefon pintar. Benarkah begitu?

Kini Xiaomi juga dikatakan mahu menghasilkan peranti telefon pintar gaming melalui anak syarikat mereka. Syarikat yang diberi nama Black Shark telah mendedahkan di laman Weibo bakal hadir dengan peranti utama yang disasarkan untuk pemain permainan video.

Tiada lagi maklumat khusus mengenai perkakasan yang akan digunakan tetapi dikatakan akan dilengkapi sistem grafik bersepadu DSP dan juga sistem penyejukan yang bertaraf 'aviation'.

Ini bermakna, pembuat permainan boleh menghasilkan permainan dengan spesifikasi yang lebih berat daripada biasa. Sama seperti Razer Phone yang menampilkan panel paparan berfrekuensi 120 Hz tetapi tidak banyak permainan video yang menyokong fungsi tersebut buat masa ini.

Apa-apa pun ini merupakan berita yang mengujakan bagi penggemar permainan video di telefon pintar dan boleh merancakkan perkembangan eSukan di kalangan pengguna telefon pintar.