Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasmi memperkenalkan Volkswagen Tayron serba baharu untuk pasaran tempatan. Dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang, SUV tujuh tempat duduk ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Elegance dan R-Line, sekali gus mengisi ruang di antara Tiguan dan Touareg dalam barisan model Volkswagen.
Volkswagen Tayron Elegance dijual pada harga bermula RM189,890, manakala harga anggaran bagi Tayron R-Line adalah sekitar RM259,000 hingga RM269,000.
Sempena pelancarannya, 69 pemilik pertama akan menerima pakej istimewa Merdeka yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun, perlindungan kemalangan diri dan kunci kereta, selain peluang memenangi percutian mewah tiga hari dua malam.
Dari segi prestasi, Tayron Elegance menggunakan enjin 1.5L eTSI mild hybrid yang menghasilkan 150PS dan 250Nm tork, lengkap dengan sistem 48V serta Active Cylinder Management (ACTplus) bagi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Sementara itu, Tayron R-Line dikuasakan enjin 2.0L TSI turbo berkuasa 265PS dan 400Nm tork bersama sistem pacuan semua roda 4MOTION. Kedua-dua varian dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem suspensi Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro).
Di bahagian kabin, Tayron menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan ruang kargo sehingga 1,905 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Varian Elegance dilengkapi skrin infotainmen Discover 12.9 inci, manakala R-Line menerima Discover Pro Max 15 inci. Kedua-duanya menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, Digital Cockpit Pro 10.25 inci serta pembantu suara IDA.
Dari aspek keselamatan, Volkswagen melengkapkan Tayron dengan pakej IQ.DRIVE yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Front Assist, Park Assist Plus, Side Assist, Rear Traffic Alert dan sembilan beg udara.
SUV ini turut menerima penarafan keselamatan lima bintang Euro NCAP, menjadikannya antara model paling lengkap dalam segmennya.
{suggest}












