Vivo Mempersembahkan Teknologi Pengecasan 120W, Cas Penuh Dalam Masa 13 Minit



Vivo sudahpun mempertontonkan teknologi pengecasan mereka Super Flash Charge 120W di acara MWC Shanghai 2019 yang sedang berlangsung minggu ini.

Berita tentang teknologi pengecasan dari Vivo ini sudah mula diperkatakan sejak awal bulan yang lepas menjadi bualan ramai. Manakan tidak, teknologi pengecasan 120W ini mampu mengisi bateri berkapasiti 4,000mAh dalam masa 13 minit sahaja. 50% dalam masa 5 minit sahaja.


Voltage Tinggi Tak Meletup Ke?

Untuk teknologi Super Flash Charge 120W ini, mereka menaikkan bekalan arus elektrik kepada 6A pada 20V untuk mendapatkan pengecasan 120W.

Sama seperti pendekatan yang diambil oleh OnePlus melalui teknologi Warp Charging dan VOOC dari Oppo, Vivo telah memindahkan MCU (Micro Controller Unit) ke adapter pengecasan untuk memastikan tiada lebihan voltan yang akan mengakibatkan kepanasan melampau yang akan mengakibatkan malapetaka.



Pihak Vivo turut memberitahu teknologi ini hanya disokong pada peranti tertentu melalui adapter dan port pengecasan type-C yang disediakan khas daripada mereka.



Bercakap tentang keselamatan bateri pula, fungsi BMS (Battery Management System) adalah amat penting dalam memberikan keseimbangan dan pengurusan lebih baik untuk memastikan jangka hayat bateri yang panjang.



Vivo sudahpun mengetengahkan pengecasan pantas 44W melalui model iQOO, hanya mengambil masa sekitar 45 minit untuk dicas penuh. Pengeluar lain seperti OnePlus sudah mempunyai Warp Charge 30W, Huawei SuperCharge 40W dan 55W dikatakan untuk Mate X sahaja, OPPO SuperVooc 50W dan Xiaomi Super Charge Turbo 100W.

Namun, pihak Vivo tidak lagi mengumumkan model baru yang akan mengetengahkan teknologi pengecasan ini ke pasaran.